Skip to main content

Dunia

Lebih 2,500 penduduk Israel cerob0h kompleks Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis Timur

Jewish visitors pray at an entrance of the Al-Aqsa Mosque compound during the holy day Tisha B'Av, a day of fasting and lament, that commemorates the date in the Jewish calendar on which it is believed the First and Second Temples were destroyed, in Jerusalem's Old City, July 23, 2026. REUTERS/Ammar Awad
Lebih 2,500 penduduk Israel menyerbu kompleks Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis Timur yang diduduki pada pagi Khamis sempena perayaan Yahudi Tisha B'Av bagi memperingati apa yang mereka sifatkan sebagai "kemusnahan Kuil". - Foto REUTERS/Ammar Awad

ISTANBUL: Lebih 2,500 penduduk Israel menyerbu kompleks Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis Timur yang diduduki pada pagi Khamis sempena perayaan Yahudi Tisha B'Av bagi memperingati apa yang mereka sifatkan sebagai "kemusnahan Kuil", lapor Anadolu Ajansi.

Seorang pegawai Jabatan Wakaf Islam di Baitulmuqaddis yang enggan dikenali memberitahu Anadolu bahawa lebih 2,500 penduduk Israel menyerbu kompleks berkenaan dan pencerobohan itu "berterusan dalam jumlah yang sangat besar".

Pegawai itu berkata pencerobohan berkenaan disertai "pelanggaran secara meluas", termasuk mengadakan upacara sembahyang Talmud secara berkumpulan, berdoa dengan suara lantang dan melakukan sujud penuh.

Video yang disebarkan aktivis sayap kanan Israel menunjukkan penduduk Israel mengadakan upacara sembahyang secara berkumpulan berhadapan Kubah Sakhrah.

Satu lagi rakaman menunjukkan bendera Israel dikibarkan di dalam kompleks itu ketika peserta menyanyikan lagu kebangsaan Israel di hadapan polis Israel.

Terdahulu, Pejabat Gabenor Baitulmuqaddis menerusi hantaran di Facebook memaklumkan bahawa polis Israel membenarkan jumlah penduduk Israel yang memasuki kompleks itu bagi setiap kumpulan ditingkatkan kepada kira-kira 150 orang.

Menurut kenyataan itu, tentera Israel mengenakan sekatan ketat di pintu masuk masjid dan sekitar Kota Lama Baitulmuqaddis, selain mengerahkan sejumlah besar anggota di kawasan halaman serta menghalang jemaah Palestin daripada memasuki kompleks berkenaan.

Hanya sebilangan kecil rakyat Palestin berjaya memasuki masjid untuk menunaikan solat subuh sebelum tentera Israel menyerang beberapa jemaah dan penduduk lain, menurut kenyataan itu.

Menurut Pejabat Gabenor itu penduduk Israel "melakukan ritual Talmud ketika pencerobohan, termasuk memakai tefillin, melakukan sujud penuh di bahagian timur kompleks dan melaungkan bacaan dengan kuat".

Menurut kenyataan itu, "kumpulan pelampau yang menyokong pembinaan kuil Yahudi di tapak berkenaan sedang menggerakkan penyokong dalam usaha membawa masuk 5,000 penduduk Israel ke kompleks itu" dalam pencerobohan pada Khamis.

Sementara itu, Pejabat Gabenor Baitulmuqaddis mengecam tindakan Menteri Keselamatan Negara Israel Itamar Ben-Gvir menyerbu kompleks berkenaan sebagai "peningkatan ketegangan yang berbahaya" dan "pelanggaran terang-terangan" terhadap status quo sejarah dan undang-undangnya.

Menurutnya tindakan berkenaan adalah sebahagian daripada "usaha sistematik menyasarkan tempat suci Islam" dan percubaan untuk memaksakan realiti baharu di masjid itu.

Menurut Pejabat Gabenor itu, penyertaan Ben-Gvir bersama pencerobohan oleh penduduk Israel serta kumpulan yang menyokong pembinaan "kuil Yahudi" di tapak berkenaan menandakan "perubahan berbahaya" daripada serangan oleh kumpulan pelampau kepada penerimaan rasmi tindakan sedemikian oleh kerajaan Israel.

Pejabat Gabenor itu memberi amaran bahawa pelanggaran berkenaan boleh membawa kesan terhadap keselamatan dan kestabilan serantau serta menggesa masyarakat antarabangsa dan institusi antarabangsa bertindak untuk menghentikannya.

Ia menegaskan bahawa keseluruhan kompleks Masjid Al-Aqsa seluas 144 dunam (35.6 ekar) merupakan "tempat ibadat eksklusif bagi umat Islam", sambil menyatakan sebarang langkah yang bertujuan mengubah identiti atau status sejarah dan undang-undangnya adalah "tidak sah dan tidak mempunyai keabsahan".

Masjid Al-Aqsa merupakan tempat suci ketiga dalam Islam.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video

Advertisement