Skip to main content

Malaysia

Tiga sindiket dadah bunga ganja tumpas, RM13.73 juta dirampas

Shah Alam , 24 June 2026. Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar menunjukkan barang rampasan pada sidang media berikutan kejayaan menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis Bunga Ganja yang berjumpal RM 13.73 Juta di IPK Selangor Kuala Lumpur.Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Rabu. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar

SHAH ALAM: Tiga sindiket pengedaran dadah jenis bunga ganja seberat 171.6 kilogram dengan nilai rampasan keseluruhan sekitar RM13.73 juta berjaya ditumpaskan menerusi empat serbuan berasingan di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Negeri Sembilan dan Selangor antara 17 hingga 22 Jun 2026.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, operasi bersepadu itu melibatkan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Sepang, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Nilai serta Polis Bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), yang turut membawa kepada penahanan tiga lelaki warga asing dan seorang lelaki tempatan.

“Serbuan pertama (17 Jun 2026) dilakukan di Terminal KLIA apabila Polis Bantuan MAHB mengesan dua bagasi mencurigakan ketika melalui mesin imbasan.

"Hasil pemeriksaan membawa kepada penahanan seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 30-an yang dipercayai pemilik kedua-dua bagasi tersebut.

“Pemeriksaan ke atas bagasi itu menemukan 56 bungkusan plastik berisi ketulan mampat disyaki dadah jenis bunga ganja dengan anggaran berat 29.6 kilogram, bernilai sekitar RM2.37 juta,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Rabu.

Menurut beliau lagi, suspek telah direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Bagi kes kedua pada 18 Jun 2026, polis menahan seorang lelaki warga asing dan seorang lelaki tempatan di hadapan sebuah hotel di Bandar Baru Enstek, Negeri Sembilan.

“Hasil pemeriksaan menemui dua bagasi mengandungi 60 bungkusan plastik dadah disyaki bunga ganja dengan anggaran berat 36 kilogram,” katanya.

Susulan tangkapan itu, polis melakukan serbuan ke sebuah kediaman di Banting, Selangor, dan merampas empat guni berisi 120 ketulan mampat disyaki dadah jenis sama dengan anggaran berat 72 kilogram.

“Nilai keseluruhan rampasan di lokasi itu dianggarkan RM8.64 juta,” katanya sambil memaklumkan polis turut merampas sebuah kenderaan jenis Proton X50 serta beberapa mata wang asing.

Sementara itu, dalam kes ketiga pada 22 Jun 2026, seorang lelaki warga asing berusia 40 tahun ditahan di KLIA selepas Polis Bantuan MAHB KLIA mengesan dua bagasi mencurigakan ketika pemeriksaan keselamatan.

“Pemeriksaan mendapati 34 bungkusan plastik berisi ketulan mampat disyaki dadah jenis bunga ganja dengan anggaran berat 34 kilogram, bernilai sekitar RM2.72 juta,” katanya.

Datuk Shazeli berkata, semua suspek didapati negatif dadah berdasarkan ujian saringan awal air kencing dan tidak mempunyai rekod jenayah di Malaysia.

Hasil semakan turut mendapati kesemua suspek yang ditangkap tidak mempunyai sebarang rekod lampau di Malaysia manakala bagi suspek warganegara asing pula, mereka menggunakan pas lawatan sosial untuk menjalankan aktiviti pengedaran dadah di negara ini.” katanya.

Must Watch Video

Advertisement