PARIS: Kira-kira 68,000 isi rumah masih terputus bekalan elektrik di bahagian barat daya wilayah Finistere, Perancis susulan insiden besar melibatkan transformer yang berpunca daripada cuaca panas melampau, menurut pihak berkuasa tempatan pada Rabu, lapor Xinhua.
Insiden itu berlaku kira-kira 9 malam waktu tempatan (1900 GMT) pada Selasa di sebuah pencawang elektrik yang dikendalikan oleh RTE, pengendali sistem penghantaran elektrik Perancis, di komun Ergue-Gaberic. Tiada kecederaan dilaporkan, menurut kenyataan daripada prefektur Finistere.
Menurut kenyataan itu, gangguan bekalan elektrik itu berlaku secara tidak sengaja dan berkait secara langsung dengan suhu tinggi yang sedang melanda rantau berkenaan. Disebabkan kerumitan teknikal, penyambungan semula sepenuhnya kepada grid dijangka tidak dapat dilaksanakan sebelum lewat malam Rabu.
Pasukan tindak balas kecemasan daripada RTE dan pembekal tenaga Enedis digerakkan sepenuhnya bagi memastikan pemulihan bekalan elektrik secara berperingkat, menurut kenyataan itu.
Pihak berkuasa tempatan memaklumkan yang keutamaan diberikan kepada kemudahan penjagaan kesihatan dan lokasi sensitif, manakala penjana kuasa sokongan sedang ditempatkan di rumah jagaan warga emas yang masih belum disambungkan semula ke grid utama.
Perancis kini sedang berdepan gelombang haba yang teruk, dengan suhu dijangka kekal pada paras luar biasa tinggi sekurang-kurangnya sehingga Khamis, menurut Meteo-France pada Selasa. Susulan gelombang haba berterusan itu, Muzium Louvre dan Menara Eiffel mengumumkan penutupan lebih awal pada Selasa.
Meteo-France turut memaklumkan bahawa 23 Jun merupakan hari paling panas pernah direkodkan di Perancis, dengan purata suhu kebangsaan mencecah 29.8 darjah Celsius.
-- BERNAMA-XINHUA