MELAKA: Seorang pelajar Tingkatan Dua dilaporkan rebah sebelum meninggal dunia ketika mengikuti latihan ragbi di sebuah sekolah di Telok Mas pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, remaja lelaki berusia 14 tahun berkenaan dikatakan baharu sahaja menjalani latihan selama 15 minit sebelum mengalami sesak nafas ketika mendengar taklimat yang disampaikan jurulatih selepas sesi rehat.
Datuk saudara mangsa, Yahya Endut, 64 berkata, beliau terkejut dengan kejadian yang menimpa anak saudaranya itu yang dipeliharanya sejak kecil.
“Saya difahamkan ketika mangsa sedang duduk, dia tiba-tiba rebah dan mengalami kesukaran bernafas.
“Sebaik menerima maklumat, kami sekeluarga terus ke sekolah. Kami memang terkejut kerana dia tidak pernah menghidap sebarang penyakit,” katanya pada Rabu.
Katanya, mangsa yang tinggal di asrama juga tidak pernah berkongsi sebarang masalah kesihatan atau perkara lain sepanjang berada di sana.
Sementara itu, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri Melaka, Datuk Rahmad Mariman mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan mangsa rebah semasa taklimat selepas latihan ragbi sebelum disahkan meninggal dunia.
Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintenden Halim Abas turut mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan pihaknya akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai insiden itu.
-- Sinar Harian