KAJANG: Tiga individu termasuk sepasang suami isteri warga emas parah dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Kilometer 3.5 Lebuhraya Sistem Lingkaran Lebuhraya Kajang (SILK), pada Ahad malam.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.10 malam itu, sebuah kenderaan dipercayai dipandu laju ketika menuruni laluan berbukit sebelum hilang kawalan lalu merempuh sebuah lagi kenderaan di lorong tengah lebuh raya berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kajang dalam kenyataan memaklumkan, kemalangan tersebut melibatkan pasangan suami isteri warga tempatan berusia 60 dan 61 tahun yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan tangan.
Seorang lagi mangsa, lelaki tempatan berusia 35 tahun, turut dilaporkan cedera parah di bahagian kepala.
Kesemua mangsa telah dikejarkan ke Hospital Sultan Idris Shah Serdang bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Menurut polis, siasatan awal mendapati kenderaan yang melanggar mangsa datang dari arah Kampung Baru Balakong menuju ke Kajang sebelum kejadian berlaku.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 12 bulan serta denda antara RM5,000 hingga RM10,000.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Saifudin Saadun di talian 011-21119379 bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memandu secara berhemah, mematuhi peraturan jalan raya serta lebih berhati-hati terutama di kawasan berbukit bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.