KUALA LUMPUR: Tiga Ahli Dewan Negara termasuk seorang lantikan baharu mengangkat sumpah jawatan senator di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Naib Canselor Universiti Antarabangsa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (UniMAIWP) Datuk Seri Profesor Noor Inayah Ya’akub merupakan lantikan baharu.
Sementara itu, dua Ahli Dewan Negara dilantik semula ialah Hussin Ismail dan RA Lingeshwaran yang dipilih semula masing-masing oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu serta DUN Pulau Pinang.
Dalam ucapannya, Awang Bemee berkata Noor Inayah yang dipilih oleh DUN Pulau Pinang akan berkhidmat bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa 14 Mei 2026 sehingga 13 Mei 2029.
Beliau berkata Lingeshwaran juga akan berkhidmat dalam tempoh sama manakala pelantikan Hussin berkuat kuasa 23 April hingga 22 April 2029.
“Bagi pihak Dewan Negara, saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan mengalu-alukan pelantikan serta pilihan semula semua Yang Berhormat Senator yang mengangkat sumpah hari ini,” katanya selepas Upacara Mengangkat Sumpah Ahli Dewan Negara itu.
Awang Bemee berharap semua senator dilantik akan memanfaatkan pengalaman, kepakaran dan kebijaksanaan masing-masing melalui penyertaan aktif dalam sesi perbahasan, mengemukakan soalan berkualiti serta penglibatan berkesan dalam Jawatankuasa Pilihan Dewan Negara demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara.
“Dalam suasana yang mencabar ini, rakyat menaruh harapan tinggi agar institusi Parlimen terus memainkan peranan secara berkesan dalam meneliti dasar kerajaan, mengemukakan pandangan yang bernas serta mencadangkan penyelesaian yang praktikal, seimbang dan konstruktif,” katanya.
Beliau turut mengingatkan Dewan Negara bukan sahaja berperanan sebagai badan yang meneliti dan meluluskan rang undang-undang, malah merupakan medan perbahasan yang matang, berhemah serta konstruktif demi kepentingan rakyat.
Menurut takwim Parlimen, persidangan Dewan Negara bagi Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima Parlimen ke-15 akan berlangsung selama 10 hari bermula 20 Julai.
-- BERNAMA