KUALA LUMPUR: Malaysia, terutamanya Johor, meletakkan dirinya sebagai alternatif yang cekap kos berbanding Singapura untuk pelaburan pusat data, hasil daripada tanah luas yang banyak, ketersediaan infrastruktur tenaga dan insentif pelaburan yang menarik.
Moody’s Ratings dalam satu laporan hari ini menyatakan daya tarikan Johor kepada syarikat skala hiper diperkukuh lagi oleh kedudukan geografinya yang hampir dengan Singapura dan keupayaan untuk memanfaatkan hubungan kukuh republik itu di peringkat antarabangsa.
“Dengan sekitar 897 megawatt (MW) kapasiti terpasang dan projek dalam pembangunan yang ketara, Johor semakin giat disepadukan ke dalam strategi penempatan yang berkaitan dengan Singapura untuk memenuhi permintaan serantau.
“Johor berjaya memanfaatkan kekangan kapasiti serantau untuk meletakkan dirinya sebagai destinasi utama bagi syarikat skala hiper,” menurut laporan itu.
Ia menambah ini dibuktikan menerusi komitmen pelaburan yang ketara daripada Microsoft dan Oracle, di samping pelancaran rantau awan baharu di Johor sepanjang tahun lalu, yang dibina berasaskan penempatan awal ByteDance di negeri itu.
Moody’s Ratings memaklumkan Singapura kekal sebagai hab pusat data terbesar dan paling matang di rantau ini, dengan anggaran 1.0 gigawatt (GW) kapasiti terpasang, disokong oleh peranannya sebagai pintu masuk kesalinghubungan serantau dengan rangkaian kabel dasar laut yang luas dan rangka kawal selia yang stabil.
Bagaimanapun, pengembangan kapasiti menjadi semakin terhad disebabkan kekangan tanah dan tenaga, serta keperluan kemampanan yang mendorong pengendali dan syarikat skala hiper untuk menerima pakai model pemusatan operasi utama, manakala rangkaian sokongan terletak disekelilingnya.
Ini bermaksud Singapura berfungsi sebagai teras nod kawalan dan saling berhubungan, manakala kapasiti tambahan dibangunkan di pasaran sekitarnya.
Selain itu, Moody's Ratings menyatakan Malaysia, salah satu pasaran pusat data yang paling pesat berkembang di Asia Selatan dan Asia Tenggara, mendapat manfaat daripada ketersediaan infrastruktur tenaga dan penghantaran, yang disokong oleh margin rizab tenaga yang kukuh, sekali gus membolehkan peningkatan pantas bagi kapasiti pusat data.
Agensi penarafan kredit itu menyatakan walaupun Semenanjung Malaysia mempunyai margin rizab tenaga yang kukuh sekitar 25 peratus pada masa ini, ia perlu melaksanakan pelaburan besar yang telah dirancang untuk kedua-dua penjanaan dan naik taraf grid tenaga pada beberapa tahun akan datang.
Ini adalah perlu bagi menyokong pertumbuhan seterusnya dalam permintaan pusat data, memandangkan pembangunan projek pusat data yang besar telah diumumkan berbanding dengan saiz pasaran tenaganya.
“Kegagalan untuk melaksanakan inisiatif sektor tenaga ini berkemungkinan mengehadkan keupayaan Malaysia untuk menyokong pertumbuhan seterusnya dalam pembangunan pusat data, memandangkan permintaan tenaga daripada pusat data sudah pun ketara dan semakin meningkat.
“Jumlah bekalan tenaga yang diperuntukkan kepada pusat data akan melebihi 7.0 GW — sekitar 25 peratus daripada kapasiti penjanaan semasa di Semenanjung Malaysia — sekiranya semua pusat data yang telah menandatangani perjanjian bekalan tenaga dengan syarikat utiliti tempatan dibangunkan pada kapasiti penuh mereka,” katanya.
Pusat data menyumbang sebanyak empat peratus daripada jumlah penggunaan tenaga pada 2025 dan merupakan pemacu utama kepada pertumbuhan permintaan.
Bahagian pengunaannya dijangka terus meningkat seiring dengan peningkatan operasi projek sedia ada, malah sebelum mengambil kira projek-projek tambahan yang baharu, tambahnya.
-- BERNAMA