Skip to main content

Dunia

'Bapa Kedai Serbaneka Jepun' Toshifumi Suzuki meninggal dunia

Sumber: REUTERS
Toshifumi Suzuki (foto) meninggal dunia akibat kegagalan jantung pada 18 Mei di usia 93 tahun. -Gambar fail/Reuters

TOKYO: Pengasas Seven-Eleven Japan yang dikenali sebagai tokoh penting dalam industri kedai serbaneka Jepun, Toshifumi Suzuki, meninggal dunia akibat kegagalan jantung pada 18 Mei di usia 93 tahun.

Syarikat induk Seven & i Holdings memaklumkan mengenai pemergian tokoh korporat yang turut digelar "Bapa Kedai Serbaneka Jepun" itu dalam kenyataan hari ini, lapor Reuters.

Dilahirkan di Nagano pada 1932, Suzuki memulakan kerjaya di syarikat pemborong buku sebelum menyertai peruncit Ito-Yokado pada 1963.

Beliau mencipta nama dalam industri runcit apabila menjalin kerjasama dengan Southland Corp dari Amerika Syarikat untuk menubuhkan Seven-Eleven Japan pada 1973, walaupun cadangan itu pada awalnya menerima keraguan.

Cawangan pertama Seven-Eleven di Jepun dibuka di Tokyo pada tahun berikutnya, sekali gus mengubah landskap runcit negara itu.

Di bawah kepimpinannya, Suzuki mempelopori penggunaan analisis data bagi pengurusan inventori mengikut permintaan pelanggan serta memperkenalkan model perniagaan berasaskan makanan sedia dimakan (ready-to-eat) dan pusingan stok yang pantas.

Beliau turut memainkan peranan penting dalam penstrukturan semula Southland Corp pada awal 1990-an selepas syarikat itu diisytiharkan muflis.

Pada 2005, beliau menubuhkan Seven & i Holdings dan memimpin syarikat itu berkembang menjadi konglomerat peruncitan global.

Suzuki meletak jawatan sebagai pengerusi pada 2016 susulan perbezaan pandangan dalam pengurusan, namun kekal dikenali sebagai antara tokoh paling berpengaruh dalam industri runcit Jepun.

 

Must Watch Video

Advertisement