Skip to main content

Malaysia

Projek RTB Sungai Muar dahului jadual, bukti komitmen kerajaan tangani banjir di Johor

SATU LAGI PROJEK KERAJAAN PERSEKUTUAN DI JOHOR : PERUNTUKAN 2.9 BILION UNTUK PROGRAM TEBATAN BANJIR DAN 600 JUTA UNTUK NEGERI JOHOR BAGI TAHUN 2026
Dr Zaliha (kanan) sewaktu meninjau perkembangan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Fasa 3 Pakej 1 di Sungai Muar, Mukim Pogoh baru-baru ini. - Foto FB Dr Zaliha Mustafa

JOHOR BAHRU: Pelaksanaan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Fasa 3 Pakej 1 di Sungai Muar, Mukim Pogoh mencatatkan kemajuan fizikal yang amat memberangsangkan apabila mendahului jadual asal sebanyak 157 hari.

Ahli Parlimen Sekijang Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata projek berkenaan kini telah mencapai status kemajuan 38.84 peratus berbanding jadual asal yang ditetapkan iaitu pada kadar 19.98 peratus.

Beliau berkata perkembangan positif ini mencerminkan kesungguhan dan komitmen Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memastikan keselamatan rakyat serta mengurangkan risiko banjir di Johor secara holistik.

"Susulan banjir besar yang melanda Johor pada Mac 2023, Kerajaan Persekutuan telah menyegerakan pelaksanaan projek RTB bernilai lebih RM600 juta di negeri ini bagi menghadapi ancaman banjir dan fenomena perubahan cuaca.

"Semua projek ini dipantau secara rapi bagi memastikan ia dilaksanakan dengan telus, amanah dan memberikan manfaat sebenar kepada rakyat," katanya dalam kenyataan selepas meninjau perkembangan projek berkenaan di Mukim Pogoh, Sekijang baru-baru ini.

Mengenai agenda tebatan banjir negara, Dr Zaliha berkata menerusi Belanjawan 2026, kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sejumlah RM2.9 bilion khusus untuk 43 projek RTB berkeutamaan tinggi di seluruh negara.

Beliau yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan MADANI (BBC) berkata peruntukan besar tersebut turut merangkumi projek baharu iaitu RTB Sungai Chaah di Segamat, yang dijangka memberi impak signifikan dalam melindungi penduduk di Parlimen Sekijang dan kawasan sekitarnya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement