Skip to main content

Malaysia

Tiada guru jalan kaki, pikul beras ke SK Pinawantai - JPN Sabah

Sumber: Sinar Harian
Jabatan Pendidikan Sabah menafikan dakwaan tular di media sosial yang mendakwa seorang guru terpaksa berjalan kaki sambil memikul beras untuk murid asrama di SK Pinawantai, Ranau. - Foto Sinar Harian

KOTA KINABALU: Jabatan Pendidikan Negeri Sabah menafikan dakwaan tular di media sosial yang mendakwa seorang guru terpaksa berjalan kaki sambil memikul beras untuk murid asrama di Sekolah Kebangsaan (SK) Pinawantai, Ranau.

Pengarahnya, Datuk Raisin Saidin berkata, terdapat dua sekolah di Sabah yang menggunakan nama SK Pinawantai iaitu di Kudat dan Ranau, namun kedua-duanya tidak mempunyai asrama serta terletak berhampiran jalan raya

"Jabatan Pendidikan Sabah amat berdukacita dengan satu isu yang tular dalam media sosial berkenaan dengan SK Pinawantai, Ranau.

"Terdapat dua sekolah di Sabah yang memiliki nama yang sama iaitu SK Pinawantai, Kudat dan SK Pinawantai, Ranau. Kedua-dua sekolah itu tidak ada asrama dan terletak berhampiran dengan jalan raya dan semua guru menggunakan kenderaan peribadi untuk ke sekolah.

"Sehubungan itu, tidak ada isu guru memikul beras untuk dihantar ke asrama sekolah berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, susulan isu berkenaan, pihak SK Pinawantai turut membuat penafian terhadap dakwaan yang ditularkan.

"Guru Besar SK Pinawantai, Ranau telah membuat penafian tentang isu yang ditularkan dan menegaskan bahawa tidak ada guru bernama Farhan di sekolah berkenaan.

"JPN Sabah turut menafikan kenyataan tidak benar yang tular di media sosial berkaitan perkara ini," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada warga maya supaya lebih bertanggungjawab dalam membawa isu berkaitan pendidikan.

"Kementerian Pendidikan (KPM) dan JPN Sabah sentiasa komited meningkatkan kualiti pendidikan di Sabah," tegasnya. - Sinar Harian


 

Must Watch Video