Skip to main content

Dunia

Sonia Gandhi mahu India bersuara demi kanak-kanak Gaza yang diperlakukan dengan kejam

Sonia Gandhi
Sonia turut menyuarakan kebimbangan bahawa India “semakin terarah ke dalam lingkungan strategik Israel” ketika rejim berkenaan berdepan kecaman global. - Gambar X@scroll

HYDERABAD: Pemimpin parti Kongres India Sonia Gandhi menggesa kerajaan supaya bersuara bagi pihak penduduk Gaza yang diperlakukan dengan kejam, dengan memetik laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyatakan rakyat Palestin berdepan genosid di bawah pendudukan tentera Israel.

"Semangat kenegaraan India menuntut kita bersuara demi saudara-saudara kita rakyat Palestin yang anak-anak mereka telah disasarkan secara kejam," tulis Sonia dalam satu ruangan pendapat yang disiarkan akhbar Indian Express pada Sabtu.

“Pertimbangan kepentingan nasional menuntut kita memberi respons terhadap pendapat awam global yang menentang tindakan genosid rejim Israel di Gaza serta pemindahan paksa dan perampasan harta benda secara kejam membabitkan ratusan ribu keluarga Palestin di Tebing Barat yang diduduki,” katanya.

Sonia, selaku Pengerusi Parti Parlimen Kongres, mengetuai anggota Parlimen daripada parti itu di Dewan Rakyat dan Dewan Negara India.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan bahawa India telah menjauhkan diri daripada “sekutu-sekutu sejarah kita” di Palestin, Iran dan rantau Asia Barat yang lebih luas, selain negara ini “semakin terarah ke dalam lingkungan strategik Israel” ketika rejim berkenaan berdepan kecaman global.

“Di tengah-tengah bantahan awam yang semakin meningkat terhadap Israel dan komuniti antarabangsa semakin menyedari kekejaman yang tidak dapat dipertahankan terhadap Gaza, India kekal sebagai satu-satunya suara yang membisu,” kata Sonia.

Suruhanjaya Siasatan Antarabangsa Bebas PBB mengenai Wilayah Palestin yang Diduduki, termasuk Baitulmuqaddis Timur dan Israel, menuduh rejim Zionis terbabit dalam kemusnahan secara sewenang-wenangnya, genosid, jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah perang.

Kanak-kanak Palestin telah disasarkan dan dibunuh secara sengaja oleh pasukan keselamatan Israel, kata Pengerusi Suruhanjaya Srinivasan Muralidhar pada 23 Jun.

Laporan itu menyatakan bahawa kanak-kanak telah ditangkap serta dikenakan penyeksaan dan bentuk penganiayaan lain yang serius, termasuk keganasan seksual, di penjara dan pusat tahanan Israel, tanpa sebarang maklumat mengenai keberadaan mereka.

Laporan itu turut menyatakan bahawa Israel telah memusnahkan “hakikat zaman kanak-kanak” menerusi kempen keganasannya di Palestin.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement