Skip to main content

Malaysia

TH kaji tambah bantuan kewangan haji golongan B40 - Marhamah

51770446476_TBMARHAMAH.jpg
Marhamah berkata, sebarang penambahan bantuan pada masa hadapan bergantung kepada kedudukan kewangan dan keuntungan yang diperoleh TH. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Golongan B40 berpeluang menerima peningkatan bantuan haji pada masa hadapan apabila Lembaga Tabung Haji (TH) memaklumkan akan memperhalusi cadangan berkenaan sekiranya mencatat keuntungan yang memberangsangkan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosili berkata bagi musim haji tahun ini, TH masih meneruskan bantuan haji bersasar kepada jemaah daripada kumpulan B40 dengan kadar bayaran yang jauh lebih rendah berbanding kos sebenar menunaikan ibadah haji.

"Kos sebenar bagi seorang jemaah haji muassasah pada musim ini adalah kira-kira RM33,300, namun jemaah B40 hanya perlu membayar sekitar RM15,000.

“Ini bermakna TH menanggung subsidi sebanyak RM18,300 bagi setiap jemaah B40 untuk menampung kos sebenar haji.

“Saya ingin menarik perhatian bahawa keuntungan TH dijana daripada simpanan para pendeposit. Oleh itu, pemberian bantuan haji bersasar perlu dilaksanakan secara berhemah dengan mengambil kira kepentingan keseluruhan pendeposit TH,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Onn Abu Bakar (PN-Batu Pahat) di Dewan Rakyat pada Isnin.

Terdahulu, Onn meminta Perdana Menteri menyatakan langkah kerajaan atau TH untuk meningkatkan bantuan kepada jemaah, khususnya golongan B40, sekiranya kos haji terus meningkat.

Marhamah berkata, walaupun bantuan haji bersasar akan terus dipertimbangkan, sebarang penambahan bantuan pada masa hadapan bergantung kepada kedudukan kewangan dan keuntungan yang diperoleh TH.

Beliau berkata, langkah itu dapat mengurangkan keperluan untuk membuat tawaran gantian berulang apabila terdapat bakal haji yang memohon penangguhan atas alasan kewangan.

"Cabaran utama ialah jumlah pendaftaran yang kini melebihi empat juta orang berbanding kuota haji Malaysia yang kekal sekitar 31,600 orang setahun. Keadaan ini menyebabkan mereka yang baru mendaftar perlu menunggu dalam tempoh sangat panjang.

"Kerajaan dan TH, insya-Allah, akan terus komited meningkatkan mutu perkhidmatan, kebajikan dan keselamatan jemaah haji dengan aspirasi untuk menjadikan Malaysia sebagai negara peneraju dunia dalam pengurusan dan perkhidmatan haji," katanya

Must Watch Video

Advertisement