Skip to main content

Dunia

Bekas Pengerusi Fed Alan Greenspan meninggal dunia pada usia 100 tahun

Credit https://www.bep.gov/
Greenspan (foto) merupakan antara tokoh dasar ekonomi paling berpengaruh dalam sejarah moden AS apabila menerajui bank pusat negara itu selama lima penggal di bawah pentadbiran empat Presiden. -Gambar fail

WASHINGTON: Bekas Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS), Alan Greenspan, meninggal dunia pada usia 100 tahun akibat komplikasi penyakit Parkinson pada pagi Isnin.

Pemergian tokoh ekonomi berpengaruh itu disahkan isterinya, Andrea Mitchell, dalam satu kenyataan rasmi. Mendiang dilaporkan meninggal dunia di kediamannya.

Greenspan merupakan antara tokoh dasar ekonomi paling berpengaruh dalam sejarah moden AS apabila menerajui bank pusat negara itu selama lima penggal di bawah pentadbiran empat Presiden.

Beliau dilantik oleh Presiden Ronald Reagan pada 1987 dan berkhidmat sehingga persaraannya pada 2006 di bawah pentadbiran Presiden George W. Bush.

Sepanjang hampir dua dekad mengetuai Fed, mendiang dikenali dengan jolokan “Maestro” kerana keupayaannya mengemudi pasaran kewangan AS melalui beberapa fasa kritikal, termasuk kejatuhan pasaran saham Black Monday 1987, gelembung teknologi dotcom, serta tempoh selepas serangan 11 September 2001.

Namun, legasi beliau turut mencetuskan perdebatan apabila sebahagian penganalisis ekonomi mengaitkan pendekatan deregulasi sektor kewangan semasa pentadbirannya dengan faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan global 2007 dan 2008.

 

Must Watch Video

Advertisement