Skip to main content

Malaysia

Teksi Madani Nasional: Proton S70 jadi model baharu, hak milik kekal pemandu - Anthony Loke

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir ke Majlis Peluncuran Program Pembaharuan Teksi Madani Nasional di Dataran Merdeka
Program Pembaharuan Teksi MADANI Nasional dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dataran Merdeka sebagai sebahagian daripada inisiatif Kerajaan MADANI membantu pemandu teksi menggantikan kenderaan lama dengan kenderaan baharu buatan nasional, sekali gus menyediakan perkhidmatan yang lebih selamat dan selesa kepada pengguna. -Foto Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperkenalkan model Proton S70 sebagai kenderaan teksi moden di bawah Program Pembaharuan Teksi Madani Nasional dalam usaha mentransformasikan industri teksi negara supaya lebih berdaya saing dan berkualiti.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata pemilihan model berkenaan dibuat berdasarkan kesesuaiannya untuk operasi teksi yang merangkumi aspek keselamatan, keselesaan penumpang serta kecekapan penggunaan bahan api bagi mengurangkan kos operasi harian pemandu.

Beliau berkata bagi memastikan kelancaran program itu, kumpulan DRB-HICOM melalui EON Avis bersama institusi kewangan turut menyediakan pilihan kaedah pembiayaan mudah bagi membantu pemandu beralih kepada kenderaan baharu mengikut kemampuan masing-masing.

"Kita sedar elemen pembiayaan adalah cabaran utama kerana ramai pemandu teksi sebelum ini sukar mendapat pinjaman bank, namun melalui program ini, kita menyelesaikan masalah berkenaan secara bersama melalui akses pembiayaan yang lebih fleksibel sama ada melalui sewa beli atau pakej pajakan yang merangkumi kos penyelenggaraan.

"Satu perkara penting yang ingin saya kongsikan ialah Kementerian Kewangan telah memberikan kelulusan supaya hak milik kenderaan dalam mana-mana pakej pembiayaan ini kekal bersama pemandu, sekali gus menamatkan skim lama yang memajakkan kenderaan kepada syarikat," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran program berkenaan, di sini, hari ini.

Loke menegaskan bahawa menerusi pendekatan baharu ini, pemandu teksi kini menjadi pemilik sah kenderaan masing-masing dan tidak lagi terikat dengan sistem pajakan tradisional yang membebankan.

Mengulas mengenai trend pengangkutan semasa, beliau berkata transformasi industri teksi kini tidak lagi terhad kepada penggantian kenderaan fizikal, tetapi turut melibatkan integrasi digital bagi memastikan pemandu teksi dapat menerima tempahan melalui platform e-hailing.

Beliau berkata kerajaan menggalakkan kerjasama erat antara kedua-dua pihak dan tidak melihat industri teksi serta platform e-hailing sebagai pesaing, sebaliknya sebagai rakan strategik yang saling melengkapi dalam menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

"Matlamat utama kerajaan adalah untuk membantu meningkatkan pendapatan pemandu dan pada masa yang sama mengurangkan kos operasi mereka melalui penggunaan kenderaan yang lebih moden serta menjimatkan bahan api," katanya.

Selain itu, Loke turut mengumumkan penambahbaikan urusan operasi di mana kenderaan teksi akan diberi keutamaan bagi pemeriksaan berkala di PUSPAKOM bagi mempercepatkan urusan pemandu dan memastikan standard keselamatan sentiasa dipatuhi.

Katanya, industri teksi juga bakal berwajah baharu dengan pengenalan identiti lebih moden tanpa penggunaan 'teksi topper' tradisional, selain penggunaan nombor pendaftaran khas GET (Gaya Ekonomi Terampil) serta meter teksi digital bagi meningkatkan imej profesionalisme dan keyakinan pengguna.
 

Must Watch Video

Advertisement