Skip to main content

Malaysia

Syarikat Menassah UAE, Perbadanan Kota Buku meterai MoU perkukuh pasaran buku Emiriah

Sumber: Instagram Menassah Distribution
Sheikha Bodour (tengah) menyaksikan majlis menandatangani MoU antara Pengedaran Menassah dan Perbadanan Kota Buku. - Foto Pengedaran Menassah

SHARJAH: Syarikat Pengedaran Menassah dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Perbadanan Kota Buku bagi memperkukuh kehadiran buku-buku Emiriah dan kandungan Bahasa Arab di pasaran Malaysia.

Menurut Agensi Berita Emiriah (WAM), perjanjian itu bakal menyaksikan penerbitan daripada rumah penerbitan Emiriah tersedia menerusi Book Capital, iaitu satu daripada platform digital nasional yang diiktiraf di Malaysia bagi jualan dan pengedaran buku.

MoU berkenaan ditandatangani oleh kedua-dua pihak dengan disaksikan oleh Pengasas merangkap Presiden Kehormat Persatuan Penerbit Emiriah, Sheikha Bodour binti Sultan Al Qasimi.

MoU itu mencerminkan visi bersama untuk memperluas kerjasama dalam sektor penerbitan dan pengedaran, di samping memupuk pertukaran budaya serta ilmu antara UAE dan Malaysia.

Ia juga bertujuan memanfaatkan saluran pengedaran digital bagi meluaskan jangkauan kandungan Bahasa Arab ke pasaran baharu, selain seiring dengan transformasi pesat industri penerbitan digital.

Di bawah perjanjian itu, Menassah akan menyediakan bahan penerbitan daripada rumah penerbitan Emiriah menerusi Book Capital yang dikendalikan oleh Perbadanan Kota Buku. 

Sementara itu, Perbadanan Kota Buku akan memudah cara pengedaran bahan penerbitan berkenaan di seluruh Malaysia serta menyokong penerbit Emiriah untuk menembusi pasaran tempatan melalui platform terkemuka itu.

Kerjasama berkenaan merangkumi penyenaraian lebih 3,000 judul buku daripada penerbit Emiriah yang diedarkan oleh Syarikat Pengedaran Menassah di platform Book Capital.

Inisiatif itu bakal meluaskan jangkauan antarabangsa buku-buku Emiriah, menjadikan kandungan Bahasa Arab mudah diakses oleh khalayak pembaca serta institusi pendidikan yang lebih luas, dan mewujudkan peluang baharu bagi penerbit Emiriah di pasaran Malaysia.

Book Capital menawarkan katalog pelbagai yang merangkumi pelbagai genre termasuk buku kanak-kanak, fiksyen Bahasa Inggeris, tajuk pembangunan diri, sejarah dan budaya serta penerbitan pendidikan. Ini menjadikannya sebuah platform yang berkesan untuk memperkukuh kehadiran buku-buku Emiriah  dalam landskap budaya dan pendidikan di Malaysia.

Mengulas mengenai perjanjian itu, Pengurus Besar Syarikat Pengedaran Menassah, Rashid Al Kous berkata: "Perjanjian ini merupakan langkah strategik dalam perjalanan syarikat untuk melonjakkan kehadiran buku Emiriah di pasaran antarabangsa serta mewujudkan saluran pengedaran mampan yang membolehkan penerbit Emiriah mengakses pasaran Malaysia menerusi platform digital nasional yang diiktiraf."

Beliau berkata: "Kami percaya bahawa membina perkongsian bernilai tinggi dengan organisasi terkemuka dalam sektor penerbitan dan pengedaran adalah asas untuk meluaskan jangkauan kandungan Bahasa Arab serta membolehkan penerbit memanfaatkan peluang di pasaran global, di samping menyokong pertumbuhan dan daya saing industri penerbitan UAE."

-- BERNAMA-WAM

 

 

Must Watch Video

Advertisement