Skip to main content

Teknologi

EU dakwa reka bentuk Facebook, Instagram galak penggunaan berlebihan

Sumber: Adobe Stock
Siasatan EC mendapati ciri seperti tatalan tanpa henti (infinite scroll), mainan video automatik (autoplay), sistem notifikasi dan cadangan kandungan yang diperibadikan boleh mendorong pengguna untuk terus melayari platform berkenaan tanpa henti. -Gambar fail/Adobe Stock

BRUSSELS: Suruhanjaya Eropah (EC) dalam dapatan awalnya berpendapat Facebook dan Instagram mungkin melanggar Akta Perkhidmatan Digital (DSA) kerana reka bentuk aplikasi berkenaan didakwa menggalakkan penggunaan media sosial secara berlebihan dalam kalangan pengguna.

Siasatan EC mendapati ciri seperti tatalan tanpa henti (infinite scroll), mainan video automatik (autoplay), sistem notifikasi dan cadangan kandungan yang diperibadikan boleh mendorong pengguna untuk terus melayari platform berkenaan tanpa henti, lapor Amanz.

EC turut berkata Meta gagal menilai secara mencukupi risiko yang ditimbulkan oleh algoritma platform itu terhadap kesejahteraan fizikal dan mental pengguna, khususnya golongan remaja serta individu yang rentan.

Menurut EC, format kandungan seperti Reels dan Stories turut dikaitkan dengan corak penggunaan berlebihan, termasuk penggunaan pada waktu malam dalam kalangan remaja.

Selain itu, pengawal selia Eropah tersebut menyifatkan alat pengurusan masa dan kawalan ibu bapa yang disediakan Meta sebagai tidak cukup berkesan kerana mudah diketepikan serta memerlukan pengetahuan teknikal, masa dan usaha daripada ibu bapa untuk digunakan dengan berkesan.

Bagi menangani isu berkenaan, EC mencadangkan Meta melaksanakan perubahan kepada reka bentuk platform termasuk mematikan ciri autoplay dan infinite scroll secara lalai, memperkenalkan peringatan waktu rehat skrin yang lebih berkesan serta mengubah sistem cadangan kandungan supaya kurang berorientasikan penglibatan pengguna.

Meta kini diberi peluang untuk mengemukakan pembelaan sebelum keputusan muktamad dibuat. Jika dapatan awal itu disahkan, syarikat berkenaan boleh dikenakan denda sehingga enam peratus daripada perolehan tahunan globalnya.

Kes itu menambah tekanan kawal selia yang sedang dihadapi Meta di Eropah dan Amerika Syarikat susulan beberapa tindakan undang-undang berkaitan dakwaan kesan penggunaan media sosial terhadap remaja dan pengguna muda.

 

Must Watch Video

Advertisement