Skip to main content

Malaysia

Mahkamah Persekutuan putuskan tiada kekhilafan dalam perintah pembebasan Syed Saddiq

Putrajaya , 13 Julai 2026.Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tiba di Mahkamah Persekutuan, Istana Kehakiman bagi mendengar keputusan rayuan akhir pihak pendakwaan untuk mengetepikan pembebasannya berhubung empat kes menyeleweng dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).Astro AWANI / SHAHIR OMMAR
Dua panel hakim Mahkamah Persekutuan berkata Syed Saddiq tidak boleh dianggap sebagai bersubahat dengan bekas Penolong Bendahari Armada Rafiq Hakim Razali yang tidak pernah didakwa. - Gambar/ Shahir Omar/ Astro AWANI

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini, melalui keputusan majoriti 2-1, memutuskan bahawa pendakwaan gagal membuktikan bahawa Mahkamah Rayuan telah terkhilaf ketika membebaskan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah jenayah (CBT), penyelewengan harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana milik Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali bersama-sama Datuk Collin Lawrence Sequerah berpendapat Mahkamah Rayuan adalah tepat dalam memutuskan bahawa pendakwaan gagal membuktikan elemen penting kesalahan melampaui keraguan yang munasabah.

Justeru, kedua-dua hakim berpandangan bahawa Mahkamah Rayuan tidak melakukan sebarang kekhilafan yang mewajarkan campur tangan Mahkamah Persekutuan.

BACA: 'Berani kerana benar' - Syed Saddiq syukur dibebaskan selepas 6 tahun berjuang

BACA: 'Terima kasih mama, abuya dan tunang yang setia bersama saya' - Syed Saddiq

BACA: Syed Saddiq, Bella Astillah dapat restu, perancangan nikah diteruskan

Menyentuh mengenai pertuduhan bersubahat, Che Mohd Ruzima berkata Syed Saddiq tidak boleh dianggap sebagai bersubahat dengan bekas Penolong Bendahari Armada Rafiq Hakim Razali yang tidak pernah didakwa. 

Beliau berkata pendakwaan berhujah bahawa Rafiq Hakim telah melakukan pecah amanah jenayah selepas menerima arahan daripada Syed Saddiq untuk memindahkan wang terbabit. 

"Meskipun tanpa bukti kukuh, tindakan melabelkan Rafiq Hakim (saksi pendakwaan ke-13 - SP13) sebagai individu yang telah melakukan kesalahan hanya berdasarkan pengakuannya bukanlah suatu pembuktian yang diterima dalam prinsip perundangan," katanya. 

Che Mohd Ruzima juga memutuskan bahawa pendakwaan gagal membuktikan bahawa wang sebanyak RM120,000, yang didakwa telah disalah guna oleh Syed Saddiq, adalah milik Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE).

"Sebaliknya, berdasarkan keterangan yang dikemukakan kepada mahkamah, wang itu diperoleh daripada dua acara kutipan dana di Muar, Johor dan Hotel DePalma, Ampang khusus bagi pembiayaan kempen politik beliau. 

"Berdasarkan keterangan, wang itu bukan milik ABBE,  SP13 atau mana-mana pihak… wang itu pada asalnya milik para penyumbang yang telah diserahkan kepada Syed Saddiq untuk membiayai kempennya di Muar sekali gus menjadikan beliau sebagai pemilik benefisial wang berkenaan," katanya. 

Beliau berkata berdasarkan dapatan bahawa pendakwaan telah gagal membuktikan kes menyalah guna RM120,000 di bawah Seksyen 403 terhadap Syed Saddiq, pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang sama tidak dapat dipertahan.

Che Mohd Ruzima juga berkata beliau tidak bersetuju dengan hujah bahawa Mahkamah Rayuan telah membuat “tuduhan melulu” terhadap pendakwaan atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Saya berpandangan bahwa Mahkamah Rayuan telah merujuk, menganalisis dan meneliti semua keterangan material yang relevan berkaitan isu berkenaan sebelum membuat dapatan fakta mungkin terdapat kebenaran dalam hujah pembelaan berhubung keterangan SP13 terhadap Syed Saddiq.

"Berdasarkan keterangan pada peringkat kes pendakwaan, adalah tidak salah bagi Mahkamah Rayuan untuk bersetuju dengan hujah pembelaan bahawa keterangan SP13 mungkin disesuaikan bagi memuaskan hati SPRM… justeru, dakwaan bahawa Mahkamah Persekutuan telah membuat ‘tuduhan melulu’ adalah tidak berasas dan tidak sepatutnya dibangkitkan," katanya.

Sementara itu, Sequerah berkata asas utama rayuan pendakwaan ialah Mahkamah Rayuan telah terkhilaf apabila merumuskan bahawa wang berjumlah RM120,000 itu milik responden dan telah digunakan bagi tujuan kempen pilihan raya beliau, yang kemudian dianggap sebagai bayaran balik bagi perbelanjaan sebanyak RM170,000 sepanjang kempen tersebut.

Beliau berkata antara dapatan utama Mahkamah Rayuan berhubung perkara itu ialah SP13, ketika pemeriksaan semula, mengesahkan bahawa akaun ABBE telah dikosongkan terlebih dahulu bagi tujuan kutipan dana responden.

Sequerah berkata wang berjumlah RM120,000 itu telah dibuktikan diperoleh daripada acara kutipan dana sebelum dipindahkan daripada akaun ABBE kepada akaun Maybank milik responden melalui empat transaksi masing-masing sebanyak RM30,000 atas arahan Syed Saddiq.

"Mahkamah Rayuan kemudian menganalisis actus reus seksyen itu yang mensyaratkan harta yang menjadi subjek kepada kesalahan mestilah milik individu selain responden.

“Setelah berbuat demikian, Mahkamah Rayuan kemudian menilai keterangan yang dikemukakan bagi menentukan perkara ini," katanya.

Beliau juga berkata Mahkamah Rayuan mendapati tiada bukti yang menunjukkan wang RM120,000 itu adalah milik ABBE atau Armada, dan SP13 tidak pernah memberi keterangan bahawa ia adalah milik ABBE.

Justeru, Sequerah berkata Mahkamah Rayuan adalah betul apabila memutuskan bahawa pengeluaran RM1 juta daripada akaun Armada oleh SP13 tidak boleh dikatakan telah digunakan atau dilupuskan dengan melanggar mana-mana arahan undang-undang.

"Pertuduhan utama pecah amanah jenayah tidak boleh dipertahankan kerana wang RM1 juta yang dikeluarkan oleh SP13 tidak pernah diseleweng sebaliknya digunakan secara sah untuk program-program Armada," katanya.


 

 

Must Watch Video

Advertisement