Skip to main content

Malaysia

'Berani kerana benar' - Syed Saddiq syukur dibebaskan selepas 6 tahun berjuang

Putrajaya , 13 Julai 2026.Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tiba di Mahkamah Persekutuan, Istana Kehakiman bagi mendengar keputusan rayuan akhir pihak pendakwaan untuk mengetepikan pembebasannya berhubung empat kes menyeleweng dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).Astro AWANI / SHAHIR OMMAR
Syed Saddiq dibebaskan sepenuhnya daripada sabitan serta hukuman tujuh tahun penjara, dua sebatan dan denda RM10 juta, selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan pendakwaan. Gambar/ Astro AWANI/ Shahir Omar

PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini menzahirkan rasa syukur yang mendalam selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan membebaskan beliau sepenuhnya daripada sabitan serta hukuman tujuh tahun penjara, dua sebatan dan denda RM10 juta, berkaitan dana Armada Bersatu.

Bercakap kepada media di perkarangan lobi mahkamah, Syed Saddiq menyifatkan keputusan tersebut sebagai bukti keberkesanan institusi kehakiman negara dalam menegakkan keadilan bagi rakyat.

"Manusia boleh merancang, Allah SWT yang menentukan. Saya rasa di sebalik setiap ujian, cabaran dan rintangan, ada sebab kenapa ujian itu dibawa ke atas kita," katanya dalam nada sebak ditemani ahli keluarga dan barisan peguamnya dalam sidang media pada Isnin.

BACA: [TERKINI] Syed Saddiq bebas tuduhan rasuah, pengubahan wang haram

Mengimbas kembali perjuangan undang-undangnya yang bermula sejak peringkat siasatan enam tahun lalu, bekas Menteri Belia dan Sukan itu menegaskan beliau tidak pernah cuba mencari jalan singkat untuk melepaskan diri.

"Saya tidak tunduk, tidak takut, tidak guna jalan pintas dan tidak minta layanan istimewa kerana saya tahu saya berada di pihak yang benar. Saya tidak lakukan kesilapan. Saya pegang kepada prinsip 'berani kerana benar'," tegasnya.

Menurut Syed Saddiq, tempoh enam tahun sebelum ini merupakan waktu yang sangat mencabar dan memberikan kesan besar bukan sahaja kepada kerjaya politiknya, malah kepada ibu bapa, keluarga dan rakan-rakan yang sentiasa berdiri teguh di belakangnya.

Beliau turut menekankan kepentingan mempertahankan kebebasan badan kehakiman sebagai benteng terakhir bagi rakyat untuk mendapatkan pembelaan.

"Apa yang berlaku hari ini mengingatkan saya betapa pentingnya untuk kita mempertahankan institusi keadilan negara yang agung iaitu institusi kehakiman.

"Apabila institusi kehakiman itu bebas dan adil, di situlah ia menjadi tempat terakhir bagi rakyat biasa yang tiada kuasa untuk mendapatkan pembelaan.

“Keputusan hari ini membawa kesedaran dan keinsafan kepada saya untuk terus mempertahankan kebebasan badan kehakiman, institusi yang menjadikan negara kita hebat," tambahnya.

Mengulas mengenai langkah masa depannya, Syed Saddiq berkata keputusan ini bukan sekadar mengenai dirinya, tetapi mengenai perjuangan untuk masa depan negara.

"Sejujurnya ini bukan tentang saya, kerana ada beratus dan beribu orang lain yang telah berjuang dan berkorban untuk masa depan negara. Harapan saya, selepas keputusan ini, saya dapat terus menabur bakti kepada negara tercinta," katanya.

Syed Saddiq dibebaskan sepenuhnya daripada sabitan serta hukuman tujuh tahun penjara, dua sebatan dan denda RM10 juta, selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan pendakwaan.

Dalam penghakiman majoriti 2-1, dua hakim yang membarisi panel, iaitu Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah, memutuskan Mahkamah Rayuan tidak terkhilaf apabila membenarkan rayuan bekas Menteri Belia dan Sukan itu pada Jun tahun lalu.

Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais, yang mengetuai panel hakim itu bagaimanapun membuat keputusan berbeza.

Che Mohd Ruzima dan Sequerah mendapati tiada kesilapan undang-undang atau prosedur yang boleh dijadikan alasan untuk merayu keputusan mahkamah itu.

 

Must Watch Video

Advertisement