Skip to main content

Malaysia

'Terima kasih mama, abuya dan tunang yang setia bersama saya' - Syed Saddiq

Putrajaya , 13 Julai 2026.Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tiba di Mahkamah Persekutuan, Istana Kehakiman bagi mendengar keputusan rayuan akhir pihak pendakwaan untuk mengetepikan pembebasannya berhubung empat kes menyeleweng dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).Astro AWANI / SHAHIR OMMAR
Syed Saddiq berkata ibu bapanya telah memberikan isyarat positif berhubung perkahwinan selepas beliau menunaikan sujud syukur sejurus keputusan mahkamah diumumkan. - Foto Astro AWANI/ Shahir Omar

PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menzahirkan penghargaan kepada keluarga, khususnya ibu bapanya serta tunangnya, Bella Astillah yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang beliau berdepan proses perundangan selama enam tahun.

Bercakap kepada pemberita selepas Mahkamah Persekutuan pada Isnin menolak rayuan pendakwaan, sekali gus mengekalkan keputusan membebaskan beliau daripada empat pertuduhan berkaitan dana Armada Bersatu, Syed Saddiq berkata sokongan ahli keluarga menjadi sumber kekuatan utama sepanjang tempoh berkenaan.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga, khususnya mama dan abuya. Anda tahu apa yang mereka lalui, terutamanya mama.

"Saya juga berterima kasih kepada tunang saya yang setia bersama. Ia bukan mudah, kerana sebelum ini saya merupakan seorang tertuduh, namun dia tetap bersama saya. Alhamdulillah hari ini saya tidak mengecewakan sokongan dan jasanya," katanya.

Mengulas secara ringkas mengenai perkembangan kehidupan peribadinya, Syed Saddiq berkata ibu bapanya telah memberikan isyarat positif berhubung soal perkahwinan selepas beliau menunaikan sujud syukur sejurus keputusan mahkamah diumumkan.

"Tadi selepas saya sujud syukur, ayah dan ibu saya telah memberikan isyarat positif (mengenai perkahwinan). Tetapi berkenaan ulasan lanjut, mungkin boleh tanya di luar mahkamah nanti kerana saya menghormati institusi ini.

"Saya tidak mahu ini menjadi tentang diri saya atau kehidupan peribadi saya semata-mata," katanya.

Menjawab pertanyaan mengenai masa depan politiknya dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq berkata beliau kekal menjadi sebahagian daripada parti itu, namun memerlukan sedikit masa sebelum membuat sebarang keputusan mengenai perancangan politik seterusnya.

"Saya sentiasa menjadi sebahagian daripada MUDA. Berkenaan rancangan politik masa depan, berikan saya sedikit masa. Hari ini saya mahu meluangkan masa bersama keluarga dan menyusun semula kehidupan peribadi saya," katanya.

Bagaimanapun, bekas Menteri Belia dan Sukan itu menegaskan komitmennya untuk terus memperjuangkan usaha membina negara tidak akan terhenti.

"Api perjuangan untuk membantu membina semula Malaysia tidak akan pernah padam. Enam tahun mengajar saya pengajaran yang sangat berharga. Apabila anda ditolak ke penjuru, apabila tiada harapan atau cahaya di hujung terowong, jangan sesekali abaikan prinsip, integriti dan maruah anda demi jalan keluar yang mudah.

"Walaupun jalan mudah itu nampak menarik, akhirnya kita perlu meletakkan kepercayaan kepada Tuhan dan institusi yang menjadikan negara ini hebat. Selagi kepercayaan itu ada, kita akan mampu mencetuskan perubahan ke arah Malaysia yang lebih baik," katanya.

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini membebaskan Syed Saddiq daripada empat pertuduhan berkaitan dana Armada Bersatu, sekali gus melepaskan beliau sepenuhnya daripada sabitan dan hukuman yang dikenakan sebelum ini.

Must Watch Video

Advertisement