Skip to main content

Malaysia

Sultan Nazrin seru negara Islam perkukuh tadbir urus, pembangunan inklusif berteraskan prinsip 'Everyone Matters'

[TB]_Sultan Perak Sultan Nazrin Shah WCIT_BERNAMA
Sultan Nazrin Shah bertitah, tadbir urus yang baik merupakan prasyarat kepada kemakmuran, bukannya suatu kemewahan yang hanya boleh dicapai selepas sesebuah negara mengecapi kemajuan. - Gambar Bernama

IPOH: Negara-negara Islam diseru memperkukuh tadbir urus, memperluaskan pembangunan ekonomi secara inklusif serta meningkatkan pelaburan dalam pendidikan, kesihatan awam dan perpaduan sosial sebagai asas membina masyarakat yang mampan dan berdaya tahan, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.

Baginda bertitah, tadbir urus yang baik merupakan prasyarat kepada kemakmuran, bukannya suatu kemewahan yang hanya boleh dicapai selepas sesebuah negara mengecapi kemajuan.

Menurut baginda, tadbir urus yang berkesan memerlukan institusi yang kukuh, ketelusan dalam pengurusan kewangan awam, kedaulatan undang-undang yang dilaksanakan secara adil serta budaya politik yang matang, berhemah dan menghormati proses demokrasi.

"Belanjawan bukan sekadar dokumen kewangan, malah dokumen moral yang mencerminkan keutamaan sesebuah kerajaan terhadap rakyatnya.

"Ketika kita meneliti pelbagai krisis yang sedang melanda dunia Islam, saya ingin menyeru para pembuat dasar yang berhimpun di sini supaya mengiktiraf bahawa tadbir urus yang baik bukanlah suatu kemewahan yang hanya diperlukan pada waktu negara makmur. Sebaliknya, ia merupakan prasyarat kepada kemakmuran itu sendiri," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah Sempena Persidangan Dunia Ke-8 Mengenai Pemikiran dan Tamadun Islam, bertemakan "Everyone Matters: Pride and Unity in Islam" di Pusat Konvensyen Casuarina Ipoh, di sini, pada Selasa.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

Menyentuh pembangunan ekonomi, baginda bertitah, Islam mengiktiraf perdagangan, keusahawanan dan penciptaan kekayaan, namun setiap kekayaan turut disertai tanggungjawab sosial bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara menyeluruh.

Menurut baginda, instrumen seperti zakat, wakaf dan kewangan Islam membuktikan bahawa ekonomi Islam dibina atas prinsip perkongsian kemakmuran, bukannya pengumpulan kekayaan dalam kalangan segelintir pihak.

Titah Sultan Nazrin, pembangunan tidak seharusnya melebarkan jurang antara bandar dan luar bandar atau antara golongan kaya dengan miskin, sebaliknya perlu memberi manfaat kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), usahawan luar bandar, wanita serta golongan muda.

Dalam masa sama, baginda menggesa negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) memperkukuh kerjasama ekonomi dan perdagangan sesama mereka, selain memanfaatkan potensi kewangan Islam sebagai pemacu pelaburan rentas sempadan, pembangunan infrastruktur serta pembiayaan PKS.

"Terlalu banyak ekonomi kita masih bergantung kepada eksport bahan mentah berbanding eksport ilmu pengetahuan, teknologi dan barangan siap. Perjalanan pembangunan Malaysia sendiri, daripada sebuah ekonomi yang bergantung kepada komoditi pada tahun 1970-an kepada ekonomi yang kini lebih pelbagai, berorientasikan sektor pembuatan dan perkhidmatan.

"Ia merupakan hasil daripada pilihan dasar yang dirancang secara teliti: pelaburan dalam pendidikan, keterbukaan terhadap pelaburan langsung asing, yang diseimbangkan dengan usaha membina keupayaan domestik serta komitmen yang jelas untuk meningkatkan kedudukan dalam rantaian nilai," titah baginda lagi.

 

Must Watch Video

Advertisement