Skip to main content

Malaysia

Suami parah dilibas isteri dengan pisau

Sumber: Astro AWANI
Suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata. - Foto PDRM

KOTA SAMARAHAN: Seorang lelaki parah selepas dilibas isterinya dengan pisau dalam kejadian di sebuah rumah sewa di Taman Unigardens, di sini, pada Isnin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Superintendan Barry William berkata, mangsa berusia 35 tahun yang bekerja sebagai mekanik dan berasal dari Sri Aman, datang ke rumah sewa yang didiami isterinya selepas mereka tidak tinggal bersama sejak lebih dua tahun lalu.

Menurutnya, berlaku perselisihan faham antara pasangan berkenaan yang dipercayai berpunca daripada rasa cemburu mangsa kerana isterinya dikatakan mempunyai hubungan dengan lelaki lain.

“Dalam pertengkaran itu, mangsa telah memukul kepala isterinya menggunakan topi keledar sehingga menyebabkan wanita berusia 31 tahun itu mengalami kecederaan,” katanya.

Suspek kemudian melarikan diri ke dalam rumah sambil dikejar mangsa.

Dalam usaha menghalang mangsa daripada menghampirinya, wanita itu mencapai sebilah pisau dan melibas ke arah suaminya, sebelum terkena pada bahagian perut.

Menyedari kecederaan serius yang dialami mangsa, suspek segera membawa suaminya ke Hospital IJN Kota Samarahan untuk mendapatkan rawatan.

Barry berkata, suspek turut menerima rawatan di hospital yang sama akibat kecederaan di kepala sebelum ditahan oleh pengawal keselamatan atas arahan polis, susulan laporan yang dibuat oleh pembantu perubatan kira-kira jam 6.50 petang.

Katanya, suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata.

“Polis turut merampas pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian,” katanya.

Mangsa telah menjalani pembedahan dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Pasangan itu telah berkahwin selama 12 tahun dan mempunyai tiga anak berusia enam, tujuh dan 11 tahun yang kini tinggal bersama ibu suspek di Sri Aman.
 

 

Must Watch Video

Advertisement