Skip to main content

Dunia

Menara Eiffel di Perancis tutup lebih awal akibat gelombang haba

Sumber: Astro AWANI
Menara Eiffel di Paris ditutup lebih awal pada Selasa berikutan ramalan suhu tinggi, menurut notis rasmi yang dikeluarkan oleh pihak pengurusan mercu tanda terkenal itu. - Gambar Astro AWANI

PARIS: Menara Eiffel di Paris ditutup lebih awal pada Selasa berikutan ramalan suhu tinggi, menurut notis rasmi yang dikeluarkan oleh pihak pengurusan mercu tanda terkenal itu, lapor Xinhua.

Monumen berkenaan ditutup lebih awal pada 4 petang waktu tempatan (1400 GMT), dengan kemasukan terakhir dibenarkan pada 12.15 tengah hari (1015 GMT), menurut maklumat yang disiarkan di laman sesawang  rasminya.

Pelawat yang mempunyai tiket bagi slot masa bermula 11.30 pagi untuk akses melalui tangga dan 12 tengah hari untuk penggunaan lif akan menerima bayaran balik secara automatik.

“Kami terpaksa menyesuaikan operasi dengan keadaan haba melampau. Keutamaan kami adalah keselamatan kakitangan dan pelawat,” menurut syarikat pengendali menara itu, Societe d'Exploitation de la Tour Eiffel (SETE), seperti dipetik oleh akhbar Perancis Le Figaro.

Susulan gelombang haba yang sedang melanda negara itu, Louvre Museum turut mengumumkan ia akan ditutup lebih awal pada pukul 4 petang berbanding waktu operasi biasa sehingga 6 petang bagi tempoh 24 hingga 27 Jun.

Perancis kini berdepan gelombang haba yang sangat kuat, dengan suhu dijangka kekal pada paras luar biasa tinggi sekurang-kurangnya sehingga Khamis, menurut Meteo-France pada Selasa.

Menurut agensi cuaca kebangsaan itu, suhu di Paris mencecah 36 darjah Celsius pada 4 petang Selasa, manakala ibu negara Perancis itu dijangka mencatat suhu setinggi 38 darjah Celsius pada Rabu.

Meteo-France turut memaklumkan yang 54 jabatan di tanah besar Perancis diletakkan di bawah amaran merah gelombang haba, iaitu tahap amaran tertinggi, manakala 35 jabatan lagi berada di bawah amaran jingga.

-- BERNAMA-XINHUA

 

Must Watch Video

Advertisement