Skip to main content

Malaysia

SPRM tahan pegawai kanan agensi penguat kuasa disyaki minta rasuah RM50,000

61769589359_SPRMMDBrasuah.jpg
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira 5 petang semalam di sekitar Lembah Klang. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan seorang pegawai kanan sebuah agensi penguat kuasa kerana disyaki meminta rasuah kira-kira RM50,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap sebuah syarikat yang memiliki kenderaan tidak berdaftar.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira 5 petang semalam di sekitar Lembah Klang.

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan berkenaan pada 23 Jun lepas dan telah meminta wang rasuah sebanyak RM50,000 untuk menutup kes syarikat tersebut.

“Namun, suspek telah bersetuju untuk menerima wang rasuah secara tunai sebanyak RM15,000 setelah diminta mengurangkan bayaran daripada RM50,000,” katanya kepada Bernama hari ini.

Suspek direman tiga hari bermula hari ini selepas permohonan SPRM dibenarkan Majistret Cynthia Noor Haizean Sulaiman di Mahkamah Majistret Shah Alam pagi ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Mohd Azwan Ramli ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata  kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement