Skip to main content

Malaysia

SPRM siasat kerugian pelaburan RM200 juta KWAP dalam eFishery

Putrajaya , 9 Julai 2026.Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia , Datuk Seri Abd Halim Aman pada sidang media khas di Bilik Sidang Media, Aras 3, Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya .Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Abd Halim berkata, SPRM menegaskan bahawa siasatan akan dilaksanakan dengan adil, telus dan saksama berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada. - Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan berhubung kerugian pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) berjumlah RM200 juta dalam syarikat teknologi akuakultur Indonesia, eFishery.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman berkata pasukan siasatan dari Ibu Pejabat SPRM telah dibentuk semalam bagi mengkaji dan meneliti perkara itu secara menyeluruh.

“SPRM menegaskan bahawa siasatan akan dilaksanakan dengan adil, telus dan saksama berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Abd Halim menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara terbabit bagi mengelakkan kekeliruan serta menjaga integriti proses siasatan.

Sebelum ini, Kementerian Kewangan (MOF) menerusi jawapan bertulis di Parlimen mengesahkan KWAP menjadi mangsa penipuan terancang dalam pelaburan berkenaan susulan manipulasi laporan kewangan oleh pihak pengurusan syarikat Indonesia itu.

Menurut MOF, konsortium pelabur termasuk KWAP telah mengambil langkah tegas termasuk memulakan tindakan undang-undang, meneruskan usaha mendapatkan semula dana, menjalankan semakan tatakelola dalaman serta memperkukuh kawalan bagi melindungi kepentingan pelaburan.

Media sebelum ini melaporkan eFishery sedang disiasat susulan dakwaan penyelewengan kewangan, termasuk manipulasi penyata kewangan sehingga hasil syarikat dilaporkan lebih tinggi daripada jumlah sebenar.

Menurut DealStreetAsia, KWAP melabur kira-kira USD47.7 juta (RM200 juta) dalam pusingan pembiayaan Siri D eFishery pada 2023.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement