Skip to main content

Dunia

Nota Mbappe buat Deschamps: "Kami gagal hadiahkan penamat yang selayaknya"

Soccer Football - FIFA World Cup 2026 - Round of 16 - Paraguay v France - Philadelphia Stadium, Philadelphia, Pennsylvania, U.S. - July 4, 2026 France coach Didier Deschamps and France's Kylian Mbappe celebrate after the match as France qualify for the quarter final stage of the World Cup REUTERS/Mike Segar
Menurut Mbappe, pengaruh Deschamps terhadap kebangkitan semula Perancis sukar digambarkan dengan kata-kata. - Gambar Reuters

NEW YORK: Kapten Perancis, Kylian Mbappe menzahirkan penghargaan penuh emosi kepada Didier Deschamps menjelang perlawanan terakhir jurulatih itu bersama Les Bleus, sambil mengakui skuad kebangsaan gagal menghadiahkan pengakhiran yang selayaknya buat pengendali berusia 57 tahun itu.

Menerusi satu hantaran di media sosial sebelum aksi penentuan tempat ketiga menentang England pada Sabtu, Mbappe menyifatkan perlawanan itu sebagai "tarian terakhir" Deschamps selepas 14 tahun membimbing pasukan kebangsaan Perancis.

"Hari ini adalah tarian terakhir anda. Anda yang telah memberikan begitu banyak kepada kami. Sepatutnya kami menghadiahkan anda pengakhiran yang lebih baik, namun kami gagal," tulis penyerang berusia 27 tahun itu.

Deschamps mengambil alih tugas selaku ketua jurulatih Perancis pada 2012 dan berjaya mengembalikan kegemilangan skuad Les Bleus apabila membawa pasukan itu menjulang Piala Dunia 2018 di Russia.

Beliau turut membawa Perancis ke pentas final Piala Dunia 2022 sebelum perjalanan mereka dalam edisi 2026 berakhir selepas tewas kepada Sepanyol di peringkat separuh akhir.

Menurut Mbappe, pengaruh Deschamps terhadap kebangkitan semula Perancis sukar digambarkan dengan kata-kata.

"Sangat sukar untuk diterjemahkan dengan kata-kata apa yang telah anda berikan sepanjang 14 tahun ini kerana anda merupakan antara individu paling penting dalam kebangkitan semula pasukan ini.

"Tidak semua orang menghargai kehebatan anda sebagaimana yang sepatutnya, namun masa dan sejarah akan menilai segalanya," katanya.

Mbappe, yang kini merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman Perancis dengan 64 gol, turut merakamkan penghargaan kepada Deschamps kerana memberinya peluang menyarung jersi kebangsaan dan beraksi di pentas terbesar dunia.

Beliau menyifatkan dirinya bertuah kerana dapat berkongsi perjalanan bersama seorang legenda bola sepak Perancis.

"Saya berasa amat bertuah kerana dapat bersama salah seorang legenda terbesar negara ini.

"Saya hanya akan menyimpan kenangan indah terhadap segala yang telah kami lalui dan capai bersama."

"Saya mendoakan segala yang terbaik buat anda dalam cabaran baharu selepas ini," kata Mbappe.

Deschamps sendiri merupakan kapten Perancis ketika negara itu menjulang trofi Piala Dunia buat kali pertama pada 1998 sebelum mengukuhkan statusnya sebagai antara tokoh paling berjaya dalam sejarah bola sepak negara itu sebagai pemain dan jurulatih. - Agensi

 

 

Must Watch Video

Advertisement