PUTRAJAYA: Dua pelari jarak jauh negara, K. Prabudass dan Muhammad Haziq Hamzah muncul peserta terbaik Terbuka Lelaki Malaysia bagi kategori masing-masing pada SCORE Marathon 2026 oleh AIA Vitality di sini hari ini.
Prabudass membuktikan kelas tersendiri apabila merangkul gelaran juara kategori 21 kilometer (km) dengan catatan masa satu jam 13 minit 4 saat (1:13:04).
Meskipun menyertai perlumbaan lain dua minggu lepas, atlet berusia 36 tahun itu berjaya mengetepikan cabaran G. Vimal yang menduduki tempat kedua (1:13:58) dan Lai Yi Hng di tempat ketiga (1:14:57).
Prabudass mengakui faktor usia dan keletihan menuntut beliau lebih bijak menguruskan rentak larian, namun tetap berpuas hati dapat mengekalkan kemenangan di laluan yang dianggapnya sebagai antara terbaik di Malaysia.
“Saya datang ke sini untuk menjadi sebahagian daripada sejarah rekod 50,000 peserta dan gembira dapat berlari semula dengan rakan-rakan lama.
“Mengenai rekod kebangsaan, saya akan lihat tahap latihan dahulu. Jika prestasi memberangsangkan, tidak mustahil saya akan memecahkannya lagi di luar negara,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 1:06:53 menyifatkan kejayaannya selama ini sering dicapai tanpa perancangan blok latihan yang spesifik, sebaliknya lebih selesa mengikut arus perlumbaan dan memberikan yang terbaik pada hari kejohanan.
Sementara itu, kategori maraton penuh jarak 42 km menyaksikan Muhammad Haziq Hamzah muncul juara selepas mencatatkan 2:44:45, sekali gus menumpaskan Lim Kok Leong yang merangkul tempat kedua (2:48:53) dan Mohamad Amirul Arif Mohd Azri di tempat ketiga (2:49:33).
Haziq yang baru menyertai larian di Gold Coast, Australia mengakui laluan berbukit di Putrajaya serta cuaca panas memberikan cabaran fizikal, namun beliau menyifatkan dirinya bernasib baik kerana tidak perlu terlalu bekerja keras memandangkan ketiadaan ramai pelari elit kali ini.
“Alhamdulillah untuk kemenangan kali ini. Fokus saya selepas ini adalah untuk persiapan ke Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM),” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SCORE Sports Management Patricia Tan berbangga apabila edisi kali ini diiktiraf secara rasmi oleh Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Acara Larian Terbesar di Malaysia.
Pengiktirafan itu dicapai selepas kejohanan yang bermula sejak 2014 itu berjaya menghimpunkan 51,077 peserta sepanjang dua hari penganjuran yang melibatkan kategori 5 km dan 10 km semalam, disusuli 21 km serta 42 km hari ini.
Patricia berkata tumpuan penganjuran kali ini adalah untuk meningkatkan pengalaman peserta melalui konsep cabaran berganda serta menyediakan pelbagai aktiviti menarik di tapak acara bagi meraikan komuniti larian.
“Sejak 2014, kami sentiasa berusaha meningkatkan standard penganjuran. Bajet kami tahun ini lebih banyak digunakan untuk memberi nilai tambah kepada peserta dan kami menyasarkan untuk menarik lebih ramai pelari luar negara pada masa hadapan bagi merancakkan pelancongan sukan negara,” katanya.
-- BERNAMA