KUALA LUMPUR: Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Pantai, Bangsar hari ini menerima kunci Blok C yang dibina semula selepas bangunan asal mengalami kerosakan struktur akibat serangan anai-anai sejak beberapa tahun lepas.
Ahli Parlimen Lembah Pantai Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata pembinaan semula blok berkenaan tertangguh sebelum ini berikutan pandemik COVID-19, namun kini berjaya disiapkan.
“Alhamdulillah, hari ini kita menyaksikan bilik-bilik darjah ini sudah boleh digunakan semula dan pelajar dapat belajar dalam suasana yang sangat baik,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan kunci Blok C SK Bukit Pantai di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) Megat Affandi Ismail dan Guru Besar SK Bukit Pantai Shaharuddin Eusop.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi turut merakamkan penghargaan kepada kontraktor yang dilantik Jabatan Kerja Raya (JKR), Picoland Sdn Bhd kerana menyiapkan projek berkenaan mengikut jadual serta menghasilkan kerja yang berkualiti.
Beliau berkata blok baharu itu menempatkan enam bilik darjah bagi murid tahun satu dan tahun dua, sekali gus menamatkan kaedah floating class yang sebelum ini terpaksa dilaksanakan.
Kawasan lapang di antara dua blok sekolah itu juga, katanya, akan diteliti untuk kerja-kerja penambahbaikan termasuk pemasangan rumput tiruan (astro turf) sebagai ruang rekreasi murid.
Sementara itu, Fahmi berkata sebuah sekolah rendah baharu, SK Seri Pantai, akan dibina di tapak lama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pantai di Kampung Kerinchi, Pantai Dalam.
Beliau berkata kerja-kerja perobohan dijangka bermula dalam tempoh beberapa bulan lagi sebelum pembinaan sekolah berkenaan dilaksanakan.
Beliau berkata perancangan sekolah baharu itu mengambil kira pertambahan penduduk susulan pembangunan kawasan perumahan baharu di sekitar Lembah Pantai.
“SK Bangsar, SK Bukit Bandaraya dan SK Bukit Pantai kini sangat padat. SK Bangsar sahaja mempunyai lebih 1,800 pelajar.
“Kita mahu pastikan suasana pembelajaran lebih selesa, justeru perancangan sekolah baharu itu dijangka menyediakan sekurang-kurangnya 36 bilik darjah, namun perkara itu masih diteliti,” katanya.
-- BERNAMA