KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyifatkan tindakan lapan Ahli Kongres Amerika Syarikat (AS) yang menggesa pentadbiran negara itu mengambil tindakan terhadap Malaysia susulan siasatan terhadap Network School sebagai mencabar kedaulatan negara dan prinsip asas hubungan antarabangsa.
Presidennya Ahmad Fahmi Mohamad Samsudin berkata sebarang siasatan berhubung isu Network School di Johor perlu diserahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa Malaysia, manakala dakwaan berkaitan keselamatan negara hendaklah diputuskan menerusi proses perundangan yang bebas, telus serta berlandaskan fakta.
Beliau berkata sekiranya wujud pelanggaran undang-undang, penyalahgunaan kemudahan imigresen atau ancaman terhadap keselamatan negara, tindakan tegas hendaklah diambil tanpa mengira kewarganegaraan atau latar belakang mana-mana pihak.
“Sebagai sebuah negara merdeka, Malaysia mempunyai hak berdaulat untuk menentukan dasar luar, dasar imigresen dan langkah keselamatan negara selaras dengan Perlembagaan Persekutuan serta prinsip undang-undang antarabangsa tanpa tekanan atau campur tangan mana-mana pihak.
"Pendirian Malaysia terhadap Palestin bukanlah dasar yang lahir daripada kepentingan politik semasa, sebaliknya merupakan kesinambungan dasar luar negara yang sejak sekian lama berpaksikan keadilan, penolakan terhadap penjajahan serta penghormatan kepada hak sesuatu bangsa untuk menentukan nasib sendiri. Prinsip inilah yang sewajarnya dihormati oleh semua negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, ABIM turut menolak sekeras-kerasnya cubaan melabel pendirian Malaysia sebagai antisemitik kerana negara ini tidak pernah memusuhi mana-mana bangsa atau agama, sebaliknya secara konsisten menolak penjajahan, apartheid, genosid dan segala bentuk pencabulan hak asasi manusia.
Katanya, mengkritik dasar rejim Zionis Israel tidak boleh disamakan dengan kebencian terhadap masyarakat Yahudi dan percubaan mengaitkan kedua-duanya hanya mengelirukan serta menutup ruang kepada kritikan yang sah terhadap pelanggaran undang-undang antarabangsa serta prinsip hak asasi manusia.
Beliau berkata tekanan terhadap Malaysia hanya akan mengalih perhatian masyarakat antarabangsa daripada usaha menghentikan penderitaan rakyat Palestin, memperluas akses bantuan kemanusiaan serta memastikan pihak yang melanggar undang-undang antarabangsa dipertanggungjawabkan.
Ahmad Fahmi berkata hubungan Malaysia dan AS yang telah lama terjalin dalam bidang perdagangan, pelaburan, pendidikan dan keselamatan wajar terus diperkukuhkan berasaskan prinsip saling menghormati, dialog yang konstruktif serta kepentingan bersama.
"Hubungan dua hala yang matang hendaklah dibina atas asas kesaksamaan dan penghormatan terhadap hak berdaulat setiap negara, bukannya melalui tekanan politik atau percubaan mempengaruhi dasar sesebuah negara.
"Dalam dunia yang semakin dipengaruhi persaingan geopolitik, Malaysia mesti terus berdiri sebagai sebuah negara yang bebas menentukan pendiriannya sendiri, berani mempertahankan prinsip serta konsisten menegakkan keadilan tanpa mengira siapa pelakunya," katanya.
-- BERNAMA