KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan setiausaha dan bendahari sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana disyaki terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram membabitkan dana pertubuhan dianggarkan bernilai RM5 juta.
Kedua-dua suspek, masing-masing lelaki dan wanita berusia lingkungan 30-an, ditahan kira-kira jam 10 pagi Selasa ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, di sini.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki menerima, memiliki, mengubah, memindah serta menggunakan wang yang dipercayai hasil aktiviti haram berkaitan penyelewengan dana pertubuhan bagi kepentingan peribadi.
Katanya, perbuatan itu dipercayai dilakukan secara bersubahat antara 2021 hingga 2023.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM, Datuk Norhaizam Muhammad, ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Beliau berkata kedua-dua suspek akan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 29 Julai ini.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001)," katanya.