Skip to main content

Malaysia

Seremban Sentral siap Mac 2027, tampung 30,000 penumpang sehari - Anthony Loke

[TB]_Anthony Loke, Seremban Central Station, KVDT2_ASTRO AWANI
Anthony Loke (tiga dari kanan) mengadakan lawatan kerja ke Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Seremban, pada Selasa. - Gambar Astro AWANI

SEREMBAN: Projek pembinaan Seremban Sentral dijangka siap sepenuhnya menjelang Mac tahun depan, sekali gus menjadi mercu tanda baharu sistem pengangkutan awam di Negeri Sembilan, kata Anthony Loke.

Menurut Menteri Pengangkutan itu, projek bernilai hampir RM100 juta itu kini memasuki fasa pembinaan struktur utama selepas kerja paling mencabar berjaya diselesaikan.

Beliau berkata, pembinaan stesen baharu itu sebelum ini berdepan cabaran kerana kerja cerucuk dan pengalihan pelbagai kabel bawah tanah perlu dilakukan ketika stesen sedia ada masih beroperasi.

“Pada awalnya memang kerja-kerja yang sangat mencabar kerana untuk membuat stesen baharu ini, mereka perlu buat ‘piling’ dalam keadaan stesen masih beroperasi.

“Tetapi selepas kerja yang paling mencabar telah siap, sekarang ini proses akan lebih cepat. Dijangkakan ia akan siap menjelang bulan Mac tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), di sini, pada Selasa.

Loke berkata, Seremban Sentral direka sebagai hab pengangkutan moden yang mengintegrasikan bangunan warisan stesen lama dengan kemudahan baharu lebih canggih.

Tambahnya, reka bentuk stesen turut mengangkat identiti tempatan menerusi elemen seni bina Minangkabau, selain mengaplikasikan konsep bangunan hijau yang membolehkan pencahayaan semula jadi memasuki ruang dalaman.

“Stesen ini akan menjadi satu stesen moden yang boleh kita banggakan kerana ia bukan sahaja mempunyai nilai warisan, malah dilengkapi ruang komersial baharu dan kemudahan yang lebih selesa untuk penumpang,” katanya.

Katanya lagi , apabila siap kelak, pengguna akan menikmati dua laluan masuk serta dua kawasan menurunkan penumpang, sekali gus mengurangkan kesesakan dan memudahkan akses ke platform.

Tambah beliau, stesen itu direka untuk menampung kira-kira 30,000 penumpang sehari pada peringkat awal, namun infrastruktur mampu diperluaskan sehingga 120,000 penumpang sehari menerusi pembinaan enam platform pada masa depan.

Dalam perkembangan sama, Loke berkata, projek Landasan Kereta Api Berkembar Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2) kini telah mencapai lebih 55 peratus kemajuan dan dijangka siap pada 2028.

Beliau menjelaskan, kekerapan perkhidmatan KTM Komuter pada waktu tengah hari dikurangkan buat sementara waktu susulan penutupan satu landasan bagi membolehkan kerja pembinaan dan pemasangan landasan baharu dilaksanakan dengan lebih pantas tanpa menjejaskan operasi keseluruhan.

Menurut beliau, apabila projek KVDT2 dan Seremban Sentral siap kelak, kekerapan perkhidmatan KTM Komuter dan ETS akan dipertingkatkan.

Ini sebagai sebahagian strategi menggalakkan lebih ramai penduduk menetap di Seremban sambil berulang-alik ke Lembah Klang menggunakan pengangkutan rel, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian.

Topic Berkaitan

Must Watch Video

Advertisement