Skip to main content

Malaysia

Selangor umum 15 inisiatif daya tahan fasa dua dengan peruntukan lebih RM200 juta

SHAH ALAM, 19 Jun -- Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari membentangkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor pada Sidang Khas Dewan Negeri di Bangunan Dewan Negeri Selangor hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari membentangkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor pada Sidang Khas Dewan Negeri di Bangunan Dewan Negeri Selangor hari ini. - Foto Bernama

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor mengumumkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor fasa dua, merangkumi 15 inisiatif dengan peruntukan sebanyak RM209.26 juta sebagai langkah strategik mendepani krisis tenaga global susulan situasi di Asia Barat. 

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata inisiatif yang digariskan itu, bukan hanya melibatkan bantuan berbentuk tunai malah turut melibatkan langkah-langkah pemerkasaan ekonomi secara holistik, agar hasil diperoleh negeri berkenaan dapat dimanfaatkan oleh keseluruhan masyarakat.

Beliau berkata pakej berkenaan dirangka, selepas kerajaan negeri meneliti kesan krisis tersebut terhadap beberapa sektor utama ekonomi negeri khususnya logistik, pembuatan dan pembinaan.

Amirudin berkata berdasarkan data Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), daripada 10,869 warga Selangor yang kehilangan pekerjaan sejak Januari hingga Mei 2026, 23.45 peratus atau 2,549 individu terlibat dalam industri peruncitan, manakala 21.3 peratus atau 2,316 individu dalam sektor pembuatan.

“Jika kita teliti lebih mendalam, daripada angka 10,869 yang saya sebut tadi, sebanyak 40 peratus merupakan pekerja pada peringkat pengurusan dan profesional, sementara selebihnya ialah pekerja peringkat juruteknik, jurujual atau pengendali jentera.

“Keadaan ini mendorong kerajaan negeri untuk melindungi sektor peruncitan dan menawarkan pilihan peralihan kepada pekerja yang telah kehilangan mata pencarian, untuk menceburi bidang keusahawanan serta peluang untuk meningkatkan keupayaan dan kemahiran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini hari ini.

Amirudin berkata antara inisiatif yang diumumkan hari ini ialah Pengurangan Kadar Sewa Premis Pihak Berkuasa Tempatan, melibatkan peruntukan sebanyak RM4.5 juta, Projek Selangor Penyayang (RM14 juta), Selangor Advance (SA500) (RM100 juta), Pembiayaan Dana Pantas Usahawan (RM20 juta), Inisiatif Pemulihan Usahawan Selangor dan Transisi Kerjaya PLATS (RM4 juta).

Selain itu, Program Kerjaya Selangor (RM1.5 juta), Bantuan Agropreneur Selangor (RM6 juta), Moratorium Smart Sewa Selangor (RM2.22 juta), Moratorium Pinjaman Perumahan Kerajaan Negeri (RM2.54 juta), Pembiayaan Daya Tahan Usahawan Tani Selangor (RM7 juta), Biasiswa Selangor (RM17 juta), Teraju IKTISASS (RM20 juta), Mama Kerja (RM5 juta) dan Rebat Cukai Taksiran 100 peratus (RM5.5 juta). 

“Secara keseluruhannya, sebanyak RM209.26 juta diperuntukkan bagi Fasa 2, manakala program-program di dalam Fasa satu yang sedang berjalan menelan belanja sebanyak RM145.8 juta.

“… ini membawa peruntukan keseluruhan untuk Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor bagi Fasa Satu dan Fasa Dua sebanyak RM355.06 juta,” katanya.

Amirudin ketika membentangkan pakej berkenaan, turut menyeru agar semua pihak kekal bersatu padu dan bekerjasama dalam memastikan ekonomi negeri kekal berdaya saing sekali gus menjadi antara pemacu ekonomi negara, dalam mengharungi ketidaktentuan ekonomi susulan situasi global. 

“Kita memerlukan kolaborasi dan perpaduan rakyat secara keseluruhan. Kita perlu membuang semangat perbalahan atau perseteruan yang tidak mengena di saat krisis dan keadaan yang tidak menentu ini.

“Ini masanya untuk kita bersatu padu, berganding tangan dan melihat dengan jelas bagaimana penyelesaian ini dijalankan, bukan untuk kerajaan, bukan untuk Menteri Besar tetapi untuk memastikan negeri ini kekal sebagai negeri yang berdaya tahan,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement