Skip to main content

Malaysia

Sebutan kes wanita cuba serang Sultan Nazrin pada 1 Julai depan

Nurshazwani Afni didakwa melakukan kekerasan jenayah terhadap Sultan Nazrin di hadapan Dewan Bandaran Ipoh, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab pada 31 Ogos tahun lalu.
Majistret Norizan Ridzuan menetapkan tarikh itu bagi merekodkan pengakuan daripada Nurhaswani Afni Mohamad Zorki (foto). -Gambar Sinar Harian

IPOH: Mahkamah Majistret di sini menetapkan 1 Julai depan bagi pengurusan kes seorang wanita yang didakwa melakukan kekerasan jenayah terhadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah ketika sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri tahun lepas.

Majistret Norizan Ridzuan menetapkan tarikh itu bagi merekodkan pengakuan daripada Nurhaswani Afni Mohamad Zorki, 41.

Pada 8 Okt tahun lepas, mahkamah itu menolak pengakuan bersalah tertuduh selepas dimaklumkan pihak pendakwaan bahawa laporan daripada Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Ulu Kinta di sini menyatakan wanita itu menghidap skizofrenia dan tidak waras semasa kejadian.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S. Nishaalini manakala tertuduh diwakili peguam Amrick Singh Sandu.

Wanita itu didakwa atas pertuduhan melakukan kekerasan jenayah terhadap Sultan Nazrin dengan cuba menyerang baginda di hadapan Dewan Bandaran Ipoh, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab pada 8.20 pagi, 31 Ogos 2025.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara hingga tiga bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pada 8 Sept 2025, dia dihadapkan ke mahkamah sama, bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana tertuduh diperintahkan menjalani pemeriksaan serta pemantauan di Hospital Bahagia selama sebulan mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah. 

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement