PETALING JAYA: Pengalaman berpusing-pusing di lokasi yang sama sehingga tersasar daripada laluan pendakian menjadi antara detik mencabar yang dilalui pendaki, Jaslinda Saludin, sepanjang hampir dua minggu berada di dalam hutan Gunung Batu Putih, Perak.
Menerusi beberapa video tular yang dirakam selepas ditemui di perkampungan Orang Asli Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh, Jaslinda, 49, berkongsi pengalaman berdepan situasi tersebut apabila mendapati dirinya kembali ke lokasi yang sama walaupun sudah meneruskan perjalanan dari puncak gunung.
'Saya tak makan dua minggu, hanya minum air hitam, coklat' - Jaslinda
Jaslinda dilaporkan telah dibawa keluar dari perkampungan itu dengan ambulans sebelum tiba di Hospital Tapah pada jam 9.20 malam untuk menjalani pemeriksaan lanjut.
“Dalam perjalanan, saya jatuh banyak kali. Saya berpusing-pusing di tempat yang sama dan keluar di tempat yang sama.
“Jadi saya tukar arah ke kanan, itu yang jumpa bukit itu. Bukit itu ada dua, tapi sebelum itu saya dah naik gunung itu,” katanya.
Menurutnya, keadaan muka bumi yang berbukit serta struktur tanah yang lembut turut menyukarkan usahanya untuk mencari jalan keluar dari kawasan berkenaan.
“Macam nak mati sebab tanah terlalu lembik, turun naik bukit. Ada air itu saya minum. Dia ada macam gua, kita masuklah,” katanya.
Sementara itu, penduduk kampung, Bah Roslan Bah Sulpok, 51, berkata, dia menemui Jaslinda dalam keadaan lemah ketika wanita itu menyeberangi jambatan berhampiran kampung berkenaan.
Menurutnya, dia mengenali wanita tersebut sebagai Jaslinda selepas melihat gambar yang tular di telefon bimbit.
“Saya terus jerit minta dia tunggu sahaja di situ. Bila saya pergi dekat dia, dia terus menangis dan cakap tolong saya,” katanya.
Jaslinda dilaporkan telah dibawa keluar dari perkampungan itu dengan ambulans sebelum tiba di Hospital Tapah pada jam 9.20 malam untuk menjalani pemeriksaan lanjut. - Sinar Harian