BAHAU: Projek naik taraf landasan kereta api Gemas–Mentakab Pakej A (Tender Semula) berjaya disiapkan, sekali gus menandakan satu lagi pencapaian dalam usaha kerajaan memperkukuh rangkaian rel negara.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, penyiapan projek itu membuktikan komitmen kerajaan meneruskan projek pembangunan strategik demi meningkatkan sistem pengangkutan rel negara.
“Penyiapan Projek Pakej A ini bukan sekadar menyiapkan baki kerja pembinaan, malah membuktikan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan setiap projek pembangunan strategik negara diteruskan sehingga berjaya demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan ekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Lawatan Kerja Projek Siap Bagi Projek Kerja-Kerja Pemulihan, Naik Taraf Landasan Kereta Api Dan Kerja-Kerja Berkaitan Di Antara Gemas, Negeri Sembilan Hingga Stesen Kereta Api Mentakab, Pahang, di Stesen Kereta Api Bahau, di sini, hari ini.
Menurutnya, projek berkenaan merupakan sebahagian daripada pembangunan jajaran kereta api Pantai Timur yang dibahagikan kepada tiga pakej utama iaitu Pakej A (Gemas–Mentakab), Pakej B (Mentakab–Gua Musang) dan Pakej C (Gua Musang–Tumpat).
Katanya, dengan siapnya Pakej A, kini kedua-dua Pakej A dan Pakej B telah disiapkan sepenuhnya, manakala Pakej C masih dalam pelaksanaan.
Projek itu pada asalnya dimulakan pada Februari 2016 dengan sasaran siap pada Februari 2019, namun gagal disiapkan oleh kontraktor asal sebelum kontraknya ditamatkan.
Kerajaan kemudian meneruskan pelaksanaannya di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK ke-12) menerusi proses tender semula secara terbuka yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan sebagai agensi pelaksana.
Projek berkenaan berjaya disiapkan pada 19 Jun 2026 dengan nilai keseluruhan semasa sebanyak RM41.7 juta, walaupun berdepan pelbagai cabaran termasuk isu pencerobohan kawasan landasan dan keperluan menaik taraf lintasan tidak sah serta lintasan ternakan.
Penyiapan projek itu dijangka meningkatkan kebolehpercayaan operasi kereta api menerusi infrastruktur landasan yang lebih selamat, stabil dan efisien, selain memperkukuh keterhubungan antara Negeri Sembilan dan Pahang bagi menyokong mobiliti rakyat serta pergerakan barangan dengan lebih lancar.
Loke turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kerja Raya (KKR), Jabatan Kerja Raya (JKR), khususnya JKR Negeri Sembilan, Asia Communication & Electronic Sdn. Bhd. (Asiakom) serta semua pihak yang menjayakan pelaksanaan projek tersebut.