Skip to main content

Dunia

PM Britain mula bertugas dari ‘No10 North’ di Manchester

British Prime Minister Andy Burnham holds his first Cabinet meeting, in London, Britain, July 21, 2026. Eddie Mulholland/Pool via REUTERS
Burnham dijangka bertugas di pejabat berkenaan setiap minggu, manakala menteri lain juga akan menggunakannya secara berkala. - Foto Reuters

LONDON: Perdana Menteri Britain Andy Burnham pada Khamis mula bertugas dari pejabat baharu kerajaan di Manchester yang dikenali sebagai “No10 North”, sebagai sebahagian usaha mengalihkan proses membuat keputusan ekonomi dari Westminster serta menyerahkan lebih banyak kuasa kepada pihak berkuasa tempatan, lapor Xinhua.

Menurut kenyataan kerajaan, pejabat yang terletak di Heron House di tengah Manchester itu akan berfungsi sebagai pusat penyelarasan baharu kerajaan bagi menyelaras usaha pembangunan ekonomi tempatan dan penurunan kuasa.

Burnham dijangka bertugas di pejabat berkenaan setiap minggu, manakala menteri lain juga akan menggunakannya secara berkala.

Burnham menyifatkan No10 North sebagai “bilik gerakan untuk menjadikan Britain lebih baik” dan berkata era Whitehall menghalang pengagihan kuasa kini telah berakhir untuk selama-lamanya.

Pada Jumaat, Burnham akan mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Ekonomi Kebangsaan yang diaktifkan semula di No10 North, menghimpunkan menteri kanan dan datuk bandar wilayah bagi membincangkan pertumbuhan ekonomi serta penurunan kuasa daripada kerajaan pusat.

Majlis itu pada asalnya ditubuhkan pada 2008 sebagai tindak balas terhadap krisis kewangan global.

Menurut kerajaan, keanggotaan majlis berkenaan akan berubah mengikut isu yang dibincangkan dan boleh melibatkan ahli perniagaan, kesatuan sekerja serta pertubuhan lain.

-- BERNAMA-XINHUA

Must Watch Video

Advertisement