Skip to main content

Malaysia

Sarang burung walit RM81.8 juta dirampas di Sarawak

BERNAMA
Mohd Yusri menunjukkan hasil rampasan OBK di Sarawak. - Gambar/ Bernama

KUCHING: Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di Sarawak merekodkan kejayaan terbesar dengan rampasan dan sitaan bernilai RM81.8 juta membabitkan kes perdagangan haram sarang burung walit yang dijalankan dari 1 Jun hingga 16 Jun lepas.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata dalam 10 serbuan dijalankan, enam individu turut ditahan, sekali gus melumpuhkan aktiviti pemprosesan dan perdagangan haram sarang burung walit bagi tujuan komersial di sekitar Kuching.

“Kesemua suspek diserahkan kepada Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) untuk tindakan lanjut kerana disyaki mengambil, mengumpul, menjual dan memiliki sarang burung yang boleh dimakan tanpa lesen sah daripada Pengawal Hidupan Liar.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 33(1) dan Seksyen 33(2) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998, manakala rampasan dibuat di bawah Seksyen 48(1) ordinan sama,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am (PGA) di sini, hari ini.

Mohd Yusri berkata dalam tempoh sama, OBK di seluruh negara merekodkan 70 kertas siasatan dengan 62 individu ditahan, dan nilai keseluruhan rampasan serta sitaan dianggarkan berjumlah RM98.4 juta.

“Dalam operasi itu, antara barang dirampas ialah 16,367 kilogram sarang burung walit, 223 ekor pelbagai jenis burung, lapan burung helang, dua tenggiling, 790 biji telur penyu, 4,238 ekor kura-kura pelbagai spesies, 218 ekor Axolotl Salamander, 116 ekor ikan eksotik, 959 ekor ayam sabung, 1,673 batang kayu balak, 7,600 anak pokok pelbagai spesies, 14 mikrocip haiwan serta sembilan mamalia pelbagai jenis.

“Sepanjang tempoh pelaksanaan operasi ini, pihak polis telah berjaya melaksanakan beberapa siri serbuan di lokasi strategik melibatkan premis penyimpanan, rumah, kenderaan logistik serta rangkaian pengedaran dipercayai digunakan pemilik,” katanya

Beliau berkata antara kesalahan lain yang dikesan melibatkan Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998, Akta Perikanan 1985, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, Enakmen Kebajikan Haiwan 2015, Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar Sabah 1997, Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 serta Akta Imigresen 1959/63.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement