PUTRAJAYA: Indeks Keterjaminan Makanan Malaysia (IKMM) mencatatkan peningkatan kepada 61.5 mata pada tahun 2024 berbanding 54.5 mata pada tahun sebelumnya, menunjukkan keterjaminan makanan negara berada pada tahap prestasi yang baik.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan itu didorong terutamanya oleh prestasi lebih baik dalam dimensi kebolehcapaian dan kestabilan makanan.
Menurut Mohd Uzir, laporan yang diterbitkan buat julung kali itu mengukur prestasi keterjaminan makanan negara berdasarkan 25 indikator utama merangkumi empat dimensi iaitu ketersediaan, kebolehcapaian, penggunaan dan kestabilan.
“Kalau kita lihat dari segi keterjaminan makanan, terdapat empat dimensi utama yang dinilai iaitu ketersediaan, kebolehcapaian, penggunaan dan kestabilan.
“Kita tidak mempunyai isu yang besar kerana jika sesuatu bekalan tidak mencukupi dalam negara, ia masih boleh diperoleh melalui import. Sebab itu dimensi penggunaan menunjukkan prestasi yang baik.
“Dari segi ketersediaan khususnya pengeluaran dalam negara, masih terdapat ruang yang boleh ditambah baik. Sebab itu fokus ekonomi pada masa hadapan turut memberi penekanan kepada pengukuhan sektor pertanian,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Program Simfoni Data & Media: Wacana Khas Bersama Ketua Perangkawan Malaysia di Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Putrajaya pada Isnin.
Beliau berkata secara keseluruhannya indeks keterjaminan makanan negara menunjukkan Malaysia berada di landasan yang baik, namun usaha perlu diteruskan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan serta input pertanian luar negara.
“Secara umumnya indeks keterjaminan makanan negara menunjukkan kita berada dalam landasan yang baik, tetapi masih ada ruang untuk terus ditingkatkan terutama dalam mengurangkan import dan juga kebergantungan kepada input pertanian,” katanya.
Mengulas faktor yang menyumbang kepada peningkatan skor indeks, Mohd Uzir berkata penggunaan teknologi yang semakin meluas dalam sektor pertanian antara penyumbang utama kepada perkembangan positif tersebut.
Jelasnya sektor pertanian perlu beralih ke arah model yang lebih mampan dan berdaya saing menerusi pengembangan aktiviti ekonomi yang lebih besar serta berorientasikan komersial.
Bagaimanapun, menurut beliau, pendekatan tersebut seharusnya dimulakan pada skala yang lebih kecil bagi mengurangkan risiko dan memastikan operasi dapat berkembang secara berterusan.
“Apabila saya turun ke lapangan dan bertemu dengan petani, saya dapat melihat peluang yang semakin banyak. Kita juga dapat melihat usahawan muda mula memasuki sektor ini kerana mereka tidak lagi melihat pertanian sebagai sektor yang kotor atau sukar.
“Hari ini pertanian semakin dipacu oleh teknologi. Namun apa yang penting ialah bagaimana aktiviti ini dapat berkembang pada skala yang lebih besar dan bersifat komersial. Setiap kejayaan perlu bermula secara kecil-kecilan sebelum berkembang secara mampan,” katanya.
Mohd Uzir berkata sektor pertanian mempunyai potensi ekonomi yang besar dan tidak seharusnya dipinggirkan, terutama ketika negara berusaha memperkukuh keterjaminan makanan untuk jangka panjang.
Beliau menegaskan, IKMM akan menjadi antara rujukan utama kerajaan dalam memantau pelaksanaan Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030 serta Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Beliau turut memaklumkan bahawa laporan awal berkenaan akan diperhalusi sebelum dimuktamadkan, termasuk melalui penambahbaikan kandungan serta pembangunan papan pemuka digital yang bertujuan memudahkan pengguna mendapatkan akses kepada data dan maklumat berkaitan keterjaminan makanan negara.
Menyentuh situasi keterjaminan makanan di peringkat antarabangsa, Mohd Uzir berkata isu berkenaan masih menjadi kebimbangan utama dunia.
Berdasarkan laporan The State of Food Security and Nutrition in the World (SOFI) 2024, dianggarkan 673 juta penduduk global berdepan masalah kelaparan, manakala lebih 2.3 bilion individu mengalami ketidakjaminan makanan pada tahap sederhana hingga serius.