Skip to main content

Politik

PRN Johor: Ramalan 53 kerusi BN cerminan keyakinan rakyat terhadap Onn Hafiz – Tok Mat

Johor Memilih, Datuk Seri Mohamad Hasan, PRN Johor, Barisan Nasional. Kredit Fitri Awani
Mohamad berkata, meskipun sukar meramalkan keputusan sebenar pilihan raya, unjuran sedemikian menunjukkan sentimen positif rakyat terhadap kerajaan negeri pimpinan BN.

JOHOR BAHRU: Ramalan yang menjangkakan Barisan Nasional (BN) mampu mencatat kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dilihat sebagai petunjuk keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, meskipun sukar meramalkan keputusan sebenar pilihan raya, unjuran sedemikian menunjukkan sentimen positif rakyat terhadap kerajaan negeri pimpinan BN.

"Dalam pilihan raya ni, kita tak dapat nak mengatakan jumlah bilangan yang sebenarnya, kerana dalam politik ni kadang-kadang pagi lain petang lain. Tapi kalau betul apa yang diramalkan, alhamdulillah.

"Tetapi kalau dapat apa yang seperti yang beliau katakan itu, alhamdulillah. Dia jelas menunjukkan bahawa rakyat Johor, bangsa Johor, selesa dengan kepimpinan pentadbiran Datuk Onn Hafiz," katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas analisis bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ong Kian Ming, yang menjangkakan BN dan UMNO berpotensi memenangi sehingga 53 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

Kian Ming, yang juga bekas Ahli Jawatan Kuasa Pusat DAP,  sebelum ini membuat unjuran itu berdasarkan analisis beberapa senario pilihan raya yang dibina menggunakan corak sokongan pengundi dalam PRU15.

Bekas Ahli Parlimen Bangi itu menyifatkan senario pro-BN sebagai yang paling berkemungkinan berlaku, dengan PH dijangka hanya mampu mempertahankan tiga kerusi manakala PN berisiko gagal memenangi sebarang kerusi.

Menurutnya lagi, antara faktor yang menyumbang kepada kelebihan BN ialah ketiadaan naratif kempen yang jelas dalam kalangan pembangkang, kegagalan PH menamakan calon Menteri Besar Johor serta pelancaran manifesto yang agak lewat.

Beliau juga berpandangan sokongan pengundi Cina dan India kepada PH tidak lagi berada pada tahap kemuncak seperti ketika PRU15, selain hubungan yang semakin renggang antara Pas dan Bersatu dijangka menjejaskan prestasi PN pada pilihan raya kali ini.

Dalam pada itu Mohamad berkata, penerimaan itu juga didorong oleh pendekatan kerajaan negeri yang memberi fokus kepada kesinambungan pelaksanaan dasar serta program yang telah dilaksanakan sepanjang penggal lalu.

Menurut beliau, manifesto yang ditawarkan BN pada PRN kali ini bukan berasaskan janji baharu semata-mata, sebaliknya meneruskan agenda pembangunan dan inisiatif sedia ada yang telah memberi manfaat kepada rakyat Johor.

"Manifesto yang beliau bentangkan juga adalah merupakan manifesto yang nak menyambung kerja, bukannya manifesto baharu, perkara baharu, tetapi adalah perkara-perkara untuk menyambung apa yang beliau lakukan pada penggal yang lepas.

"Jadi rakyat Johor, pengundi Johor, nampak itu dan saya yakin sokongan yang lebih baik akan dapat diberikan kepada Datuk Onn Hafiz untuk menerajui kerajaan Barisan Nasional di Johor untuk penggal kali ini," katanya.

Terdahulu, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau turun berkempen bersama calon BN DUN Kempas, Datuk Ramlee Bohani, yang mempertahankan kerusi berkenaan dalam kawasan Parlimen Pulai.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRN Johor pada 11 Julai ini, manakala pengundian awal melibatkan anggota tentera dan polis berlangsung pada Selasa

Must Watch Video

Advertisement