Skip to main content

Malaysia

17 pelajar Malaysia rangkul 22 pingat di Koala Excellence Olympiad 2026

KEO
Seramai 17 pelajar Malaysia mengharumkan nama negara di Koala Excellence Olympiad (KEO) 2026 Peringkat Antarabangsa di Macau.

KUALA LUMPUR: Seramai 17 pelajar Malaysia mengharumkan nama negara apabila merangkul sembilan anugerah keseluruhan dan membawa pulang 22 pingat dalam pertandingan Koala Excellence Olympiad (KEO) 2026 Peringkat Antarabangsa di Macau.

Penyelaras Pertubuhan Saintis Muda Malaysia (MYSO), yang juga ketua kontinjen Malaysia ke Macau, Aidah Misran, berkata pertandingan yang berakhir semalam itu menyaksikan pelajar Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Hartamas, Mukridz Mardzuki muncul juara keseluruhan Olympiad Sains bagi kategori sekolah rendah.

"Pelajar SK Convent (2) Bukit Nanas, Sarah Isabel Maryam Ahmad Suhael, serta Alfie Rizq Danial Azlan dari Sekolah Sultan Alam Shah pula muncul naib juara keseluruhan Olympiad Sains, masing-masing bagi kategori sekolah rendah dan menengah.

Image
KEO
Seramai 17 pelajar Malaysia mengharumkan nama negara di Koala Excellence Olympiad (KEO) 2026 Peringkat Antarabangsa di Macau.

"Turut muncul naib juara keseluruhan ialah Ayra ‘Adani Muhammad ‘Aizat dari Kolej PERMATA@Pintar Negara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi Olympiad Bahasa Inggeris," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, lima anugerah tempat ketiga keseluruhan diraih oleh Marvyn Zef Mark Philip yang menang dua kategori (Sains dan Bahasa Inggeris), P Prem (Sains), Muhammad Khairul Mauidz Khairul Azman (Matematik) dan AK Shashini (Bahasa Inggeris).

Secara keseluruhan, kontinjen Malaysia membawa pulang lima pingat emas, enam perak dan 11 gangsa.

Pertandingan anjuran KEO dan Miss Man International Group, serta diselaraskan di Malaysia oleh MYSO itu menghimpunkan pelajar dari pelbagai negara dalam Olympiad Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Seni.

Kontinjen Malaysia terdiri daripada empat pelajar Kolej PERMATA@Pintar Negara UKM, enam pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ungku Aziz, dua pelajar Sekolah Sultan Alam Shah, tiga pelajar SK Convent (2) Bukit Nanas, serta masing-masing seorang pelajar dari SMK Convent Teluk Intan, SK USJ 12, SK Seri Hartamas dan SK Convent Sentul 1.
 

 

 

Must Watch Video

Advertisement