KUALA LUMPUR: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan berhubung insiden tikaman melibatkan seorang murid dalam kejadian di sebuah sekolah di negeri itu hari ini.
Dalam satu kenyataan, JPN Selangor memaklumkan mangsa sedang menerima rawatan di hospital, manakala suspek telah ditahan oleh pihak polis bagi membantu siasatan.
Menurut kenyataan itu lagi, keutamaan ketika ini adalah memastikan mangsa menerima rawatan terbaik selain bantuan sewajarnya disalurkan kepada keluarga mangsa.
"JPN Selangor memberi kerjasama penuh terhadap proses siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa," menurut kenyataan itu pada Isnin.
Bagi membantu warga sekolah yang terkesan, JPN Selangor menjelaskan pasukan kaunselor serta guru bimbingan dan kaunseling telah digerakkan bagi melaksanakan intervensi sokongan psikososial kepada murid, guru dan seluruh warga sekolah berkenaan.
JPN Selangor turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih sehingga boleh mengganggu proses siasatan yang sedang dijalankan.
Terdahulu, polis menahan seorang remaja perempuan yang disyaki menikam seorang pelajar dalam kejadian di sebuah sekolah menengah.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kejadian berlaku antara jam 9.30 hingga 10 pagi sebelum suspek berjaya ditahan pihak berkuasa.