Skip to main content

Malaysia

Sabah, Persekutuan perlu perkukuh kerjasama tangani isu pendidikan negeri

61769005837_JamesRatib.jpg
James berkata isu seperti projek sekolah terbengkalai memerlukan kerjasama rapat antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan punca permasalahan dapat dikenal pasti serta diselesaikan dengan segera. - Gambar fail

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan perlu terus memperkukuh kerjasama dalam sektor pendidikan bagi memastikan pelaksanaan dasar serta pembangunan dapat diselaraskan dengan lebih berkesan.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk James Ratib berkata hubungan erat antara kedua-dua pihak penting supaya perkongsian maklumat berjalan lancar, sekali gus membolehkan pelbagai isu berkaitan pendidikan ditangani dengan lebih cepat dan menyeluruh.

Beliau berkata penambahbaikan kerjasama itu bukan bermakna hubungan sedia ada tidak memadai, sebaliknya bertujuan memperkukuh saluran komunikasi serta maklumat terkini mengenai perkembangan sektor pendidikan termasuk projek sekolah mengalami kelewatan atau terbengkalai.

“Kami mahu kolaborasi antara kerajaan negeri dan Persekutuan dipererat lagi supaya segala maklumat dan informasi dapat dikongsi dengan lebih baik.

“Dengan itu, kerajaan negeri dapat memahami isu yang berlaku dan membantu mencari penyelesaian bersama pihak berkaitan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

James berkata isu seperti projek sekolah terbengkalai memerlukan kerjasama rapat antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan punca permasalahan dapat dikenal pasti serta diselesaikan dengan segera.

Beliau berkata kerajaan negeri mempunyai peranan penting dalam membantu melancarkan pelaksanaan projek pembangunan pendidikan memandangkan beberapa aspek pentadbiran dan kawal selia masih berada di bawah bidang kuasa negeri.

Justeru, beliau mencadangkan supaya sebarang prosedur atau peraturan yang boleh melambatkan aliran komunikasi antara pegawai di peringkat negeri dan Persekutuan diteliti semula bagi meningkatkan kecekapan penyampaian maklumat.

“Apabila komunikasi lebih lancar, setiap isu yang timbul dapat dikenal pasti lebih awal dan tindakan penyelesaian boleh dilaksanakan dengan lebih berkesan demi kepentingan sektor pendidikan di Sabah,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement