GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang komited mencapai sasaran tahap penggunaan transaksi tanpa tunai atau nirtunai 100 peratus dalam masa terdekat menerusi pelbagai inisiatif yang sedang dilaksanakan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri H'ng Mooi Lye berkata antara inisiatif itu adalah penglibatan kesemua 24 jabatan dan agensi kerajaan negeri dalam kempen penggunaan pembayaran digital bagi memperluas amalan transaksi nirtunai dalam kalangan rakyat.
“Kerajaan negeri turut memberi perhatian kepada aspek penambahbaikan berterusan melalui pelaksanaan kajian kepuasan pengguna bagi mendapatkan maklum balas serta memahami pengalaman mereka menggunakan kemudahan pembayaran digital.
“Pada masa sama, pelbagai pendekatan hebahan dan promosi dipergiatkan menerusi pemasangan bahan promosi di pejabat kerajaan negeri selain penggunaan saluran komunikasi rasmi seperti laman sesawang, media sosial dan platform digital jabatan,” katanya ketika ditemui selepas sidang media di Komtar di sini hari ini.
Beliau berkata usaha berterusan itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kemudahan, keselamatan serta manfaat penggunaan pembayaran secara nirtunai.
Sementara itu, H'ng berkata Pulau Pinang muncul juara Anugerah Prestasi Penggunaan Pembayaran Digital Cemerlang bagi kempen Cashless Boleh 5.0 peringkat kebangsaan selepas merekodkan kadar transaksi nirtunai sebanyak 99.40 peratus.
Beliau berkata pencapaian itu juga adalah kemenangan kali kedua berturut-turut Pulau Pinang selepas merekodkan kadar transaksi nirtunai sebanyak 95 peratus menerusi kempen Cashless Boleh 4.0 sebelum ini.
“Dengan komitmen dan kerjasama semua pihak, saya yakin Pulau Pinang akan terus mengekalkan kedudukannya sebagai negeri peneraju dalam agenda pendigitalan dan menjadi penanda aras kepada negeri-negeri lain di Malaysia,” katanya.
-- BERNAMA