Skip to main content

Malaysia

PRN Johor: Langit cerah sambut pengundi awal

Sumber: BERNAMA
- Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU: Langit cerah menjadi latar permulaan proses pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hari ini, dengan anggota keselamatan mula hadir seawal 7.30 pagi untuk menunaikan tanggungjawab mereka.

Suasana di pusat-pusat pengundian yang dibuka pada 8 pagi mendapati keadaan cuaca baik, sekali gus memudahkan pergerakan anggota keselamatan dan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang hadir lebih awal.

Walaupun cuaca di kebanyakan lokasi pengundian berada dalam keadaan baik pada sebelah pagi, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan ribut petir di seluruh negeri pada sebelah petang.

Sebanyak 64 pusat mengundi dibuka hari ini melibatkan penyertaan 24,751 pengundi awal terdiri daripada 12,041 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama-sama pasangan serta 12,710 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan pasangan masing-masing.

Tinjauan Bernama di beberapa pusat mengundi antaranya Kem Batalion 5 PGA Simpang Renggam, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Kem Mahkota Kluang setakat ini, mendapati proses pengundian berjalan dengan lancar dan teratur.  

Terdahulu, sebelum pusat pengundian dibuka, petugas SPR membuat persiapan akhir dan bersiap sedia bagi memastikan proses pengundian berlangsung dengan lancar mengikut jadual.

Pusat-pusat mengundi awal akan ditutup secara berperingkat antara 12 tengah hari hingga 6 petang, bergantung pada lokasi dan jumlah pemilih berdaftar di pusat masing-masing.

PRN Johor kali ini melibatkan sebanyak 2,727,926 pemilih layak mengundi di 1,140 pusat mengundi.

Secara keseluruhan, PRN Johor ke-16 menyaksikan sebanyak 172 calon bertanding bagi merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan hari pengundian biasa ditetapkan pada Sabtu ini.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement