Skip to main content

Dunia

Angka korban banjir kilat di Ecuador meningkat kepada 9

Sumber: X/ESPECIGEST
Menurut media tempatan, Gabenor Zamora Chinchipe Ivonne Panchi adalah antara individu yang dilaporkan hilang. - Foto media sosial

QUITO (ECUADOR): Angka korban akibat banjir kilat di wilayah Zamora Chinchipe di tenggara Ecuador meningkat kepada sembilan orang, manakala sembilan lagi masih hilang, menurut Sekretariat Kebangsaan Pengurusan Risiko pada Isnin, lapor Xinhua.

Insiden berlaku pada Jumaat di sektor Cantzama apabila hujan lebat menyebabkan Sungai Zamora melimpah, menghanyutkan rumah dan infrastruktur serta menyebabkan beberapa kawasan dipenuhi lumpur.

Menurut maklumat awal, 38 orang cedera, 74 keluarga terjejas dan 48 keluarga dipindahkan. 

Bencana itu turut merosakkan 50 kediaman, memusnahkan sebuah jambatan dan menjejaskan 23 hartanah persendirian.

Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan dengan penyertaan lebih 15 institusi, 187 anggota serta 71 jentera dan peralatan khusus.

Pihak berkuasa berkata sebuah pusat perlindungan sementara telah dibuka, dengan 31 orang daripada 10 keluarga menerima bantuan di pusat terbabit. 

Menurut media tempatan, Gabenor Zamora Chinchipe Ivonne Panchi adalah antara individu yang dilaporkan hilang.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 

Must Watch Video

Advertisement