Skip to main content

Malaysia

Polis kesan tiga warga Myanmar lari selepas kemalangan di Lipis

[TB]_Lari SJR, BMW terbabas rempuh tangki air_SINAR
Keadaan kereta BMW yang merempuh tangki air di Kilometer 23, Jalan Lipis-Merapoh, berhampiran Padang Tengku, petang Isnin. - Foto polis Lipis/Sinar Harian

KUANTAN: Polis sedang mengesan seorang wanita dan dua lelaki warga Myanmar yang melarikan diri selepas kereta dinaiki mereka terlibat kemalangan di KM 23 Jalan Lipis-Merapoh berhampiran sebuah stesen minyak di Padang Tengku, Kuala Lipis, semalam. 

Ketua Polis Daerah Lipis Superintenden Ismail Man berkata kemalangan pada kira-kira 4.30 petang berlaku ketika pemandu kereta jenis BMW bersama lima penumpang Myanmar dalam perjalanan dari Kelantan menuju ke Kuala Lumpur.

Beliau berkata ketika melalui pemeriksaan polis di sekatan jalan raya di KM 28 Jalan Lipis-Merapoh, pemandu lelaki warga tempatan berusia 45 tahun bertindak melarikan diri dengan memecut kenderaan menghala ke arah Lipis sebelum terbabas dan melanggar tangki air di hadapan sebuah kedai makan.

“Kemalangan menyebabkan pemandu dan dua wanita Myanmar cedera manakala tiga lagi melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, Ismail berkata polis menahan tiga individu yang cedera tersebut bagi membantu siasatan dan usaha mengesan tiga lagi yang melarikan diri sedang dijalankan. 

Beliau berkata polis meminta kerjasama mereka yang melihat kejadian tampil bagi membantu siasatan.

Kes disiasat antaranya mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 55E serta Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63. 

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement