Skip to main content

Malaysia

PRN Johor: Felicia Poh pemenang paling muda, Samsolbari pemenang tertua

BATU PAHAT, 5 Julai -- Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penggaram, Felicia Poh Rui Ling, memegang replika kad kempennya sambil menunjukkan isyarat nombor satu, yang merupakan nombor calon beliau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16.  fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Calon DAP paling muda itu menjadi pemenang termuda yang memenangi PRN kali ini. - Gambar/ Bernama

JOHOR BAHRU: Kejayaan Felicia Poh Rui Ling, 28, mencipta kemenangan sulung mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penggaram untuk Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, memperlihatkan keyakinan pengundi terhadap kepimpinan generasi muda.

Calon DAP paling muda itu menjadi pemenang termuda yang memenangi PRN kali ini dengan memperoleh 24,522 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Boo Chin Leong, 65, yang meraih 20,385 undi, sekali gus menang dengan majoriti 4,137 undi.

Penggaram yang mempunyai 70,294 pengundi berdaftar merupakan satu daripada tiga kerusi DUN di bawah Parlimen Batu Pahat.

Kemenangan Poh memastikan kerusi DUN Penggaram kekal bersama PH selepas penyandangnya Gan Peck Cheng, tidak mempertahankan kerusi berkenaan pada PRN kali ini.

Sementara itu, calon BN di DUN Semarang Datuk Samsolbari Jamali, 65, muncul calon tertua yang menang dalam PRN kali ini.

Ketua UMNO Bahagian Ayer Hitam itu yang mula bertanding di DUN Semarang sejak 2004 mencipta sejarah apabila berjaya mempertahankan kerusi tersebut bagi penggal keenam berturut-turut, menewaskan dua lagi pencabar dengan majoriti 14,679 undi.

Dua pencabar Samsolbari, calon Perikatan Nasional (PN) Muhammad Syafiq Abdul Aziz dan calon PH Ramli Abd Hamid, masing-masing sekadar meraih 2,695 dan 2,205 undi.

PRN Johor kali ini menyaksikan calon paling muda iaitu Danish Hossman Abd Rahman, 23, (PKR-PH) yang bertanding di DUN Johor Lama, manakala calon tertua Lim Chin Eng @ Roland Lim berusia 73 tahun daripada PN bertanding di DUN Stulang.

PRN Johor menyaksikan seramai 172 calon berentap merebut 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://pru.astroawani.com/.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement