Skip to main content

Malaysia

Pramugara popular Hafeez Al Bukhary meninggal dunia

hafeez_albukhary
Pemergiannya disahkan hari ini oleh sepupunya, Hani Mishan, menerusi satu hantaran di Threads. - Gambar fail/Instagram/@hafeez_albukhary

KUALA LUMPUR: Pramugara popular Malaysia Airlines, Hafeez Al-Bukhary Zulkefly meninggal dunia selepas bertarung dengan kanser usus besar tahap empat.

Pemergiannya disahkan hari ini oleh sepupunya, Hani Mishan, menerusi satu hantaran di Threads.

"Assalamualaikum. Baru dapat perkhabaran dukacita dari kakak Hafeez. Dengan penuh rasa dukacita dimaklumkan bahawa Hafiz Bukhari bin Zulkefly telah kembali ke rahmatullah. Al-Fatihah.

"Semoga Allah SWT mengampuni segala dosanya, melapangkan kuburnya, dan mengurniakannya syurga Firdaus. Amin," kata Hani menerusi hantaran itu.

Sebelum ini, Hani menerusi Threads memaklumkan Hafeez berada dalam keadaan kritikal.

Menurut beliau, Hafeez telah dibawa pulang ke kampung halamannya di Perak selepas kesihatannya dilaporkan semakin merosot.

Pada Ogos tahun lalu, Hafeez mendedahkan beliau disahkan menghidap kanser kolon atau kanser usus tahap empat menerusi satu perkongsian di Instagram.

Dalam hantaran itu, beliau berkata menerima ujian berkenaan dengan penuh reda serta percaya setiap dugaan yang diberikan mempunyai hikmah tersendiri.

Hafeez meraih perhatian ramai menerusi kandungan berkaitan kerjayanya sebagai pramugara, termasuk perkongsian pengalaman mengendalikan penumpang dan jemaah haji sepanjang penerbangan.

Keperibadiannya yang mesra serta sentiasa mengukir senyuman ketika bertugas menjadikan beliau antara figura media sosial yang disenangi pengikutnya.

Must Watch Video

Advertisement