KANGAR: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis merangka beberapa langkah proaktif dalam usaha membantu mengatasi lambakan durian sepanjang pengeluaran raja buah itu bagi tempoh antara Jun hingga Ogos ini.
Pengarah FAMA Perlis Mohd Anzara Azizan berkata antara langkah itu adalah menerusi penganjuran Pesta Buah-Buahan Tempatan Perlis melibatkan 10 usahawan buah-buahan bermusim dengan kerjasama Jabatan Pertanian Negeri di Taman Buah-Buahan Eksotik Sungai Batu Pahat dekat sini pada 25 dan 26 Julai ini.
Beliau berkata selain itu, melaksanakan Kempen Lebihkan Makan Buah-Buahan Tempatan sempena 10th World Cup Woodball Championship di Laman Woodball, Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Kampus Pauh Putra, Arau pada 24 hingga 30 Julai.
“Langkah lain ialah mengaktifkan semula Pusat Pemprosesan Buah-Buahan Segar FAMA Beseri bagi memproses isi durian sejuk beku untuk pasaran kepada usahawan IMAT (Industri Makanan dan Asas Tani) yang terlibat dalam pengeluaran produk hiliran durian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Anzara berkata outlet-outlet pemasaran FAMA juga berperanan dalam membantu mengatasi lebihan pengeluaran hasil durian itu membabitkan tiga Gerai Buah-Buahan Segar (GBBS) di Taman Guru Jaya, Bandar Kangar dan Jejawi.
“Setakat ini hampir 160 metrik tan durian berjaya dipasarkan oleh GBBS berkenaan melibatkan beberapa varieti seperti durian kampung, musang king, duri hitam dan lain-lain,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Pusat Operasi Kangar yang bertindak sebagai hab pengumpulan utama hasil pertanian Perlis membuat belian terus hasil pengeluaran durian kampung dari Perak dan Kedah sebanyak 5.5 metrik tan bermula dari 18 Jun sehingga kini.
“Bagi memastikan penyampaian khidmat pasaran di Perlis berjalan sebaiknya, tiga Pusat Belian Sementara Buah-Buahan Bermusim akan diwujudkan di kawasan utama pengeluaran iaitu Dusun Bukit Air, Dusun Batu Pahat dan Dusun Bukit Manik, Beseri,” katanya.
Mohd Anzara berkata FAMA Perlis menjalankan inisiatif pemasaran hasil pengeluaran durian sejajar Pelan Pemasaran dan Intervensi Buah-Buahan Bermusim Tahun 2026 yang digerakkan secara proaktif di seluruh negara.
-- BERNAMA