Skip to main content

Malaysia

Polis tumpas sindiket 'love scam’ sasar warga Jepun

ALOR SETAR, 23 Julai -- Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah (kanan) menunjukkan gambar suspek sindiket penipuan dalam talian (love scam) pada sidang medianya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah (kanan) menunjukkan gambar suspek sindiket penipuan dalam talian (love scam) pada sidang medianya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, hari ini. - Foto Bernama

ALOR SETAR: Polis menumpaskan sindiket penipuan cinta dalam talian yang menyasarkan warga Jepun selepas menahan tujuh lelaki warga China dalam serbuan di bangunan kedai di Taman Perindustrian Ringan Kristal, di sini pada Isnin lepas.

Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah berkata serbuan pada 1.40 tengah hari itu hasil maklumat premis tersebut dijadikan lokasi operasi pusat panggilan. 

Beliau berkata suspek yang berusia 21 hingga 30 tahun berperanan untuk mengenal pasti mangsa berpotensi sebelum maklumat diserahkan kepada kumpulan lain untuk tindakan selanjutnya.

“Siasatan mendapati mereka direkrut di negara asal melalui tawaran pekerjaan di luar negara yang diiklankan menerusi satu aplikasi.

“Selepas bersetuju, mereka dibawa masuk ke Malaysia untuk menjalankan operasi itu dengan gaji antara RM2,000 hingga RM3,000 mengikut peranan masing-masing,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Adzli berkata sindiket itu dipercayai mula beroperasi pada pertengahan Jun lepas dan menggunakan dua aplikasi untuk mewujudkan identiti palsu bagi memperdayakan mangsa.

Beliau berkata siasatan dan maklumat daripada komputer dirampas mendapati 19 warga Jepun telah menjadi mangsa, dengan siasatan diteruskan untuk mengesahkan jumlah sebenar mangsa serta rangkaian sindiket tersebut.

Serbuan juga merampas 58 barangan berkaitan jenayah itu dianggarkan bernilai RM50,000 termasuk 34 telefon bimbit, komputer riba (enam), tetikus komputer (tujuh), sebuah monitor dan unit pemprosesan pusat (CPU), router, modem, penyesuai serta kabel.

Adzli berkata semua suspek direman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Selain itu, beliau berkata polis kini sedang mengesan seorang rakyat Malaysia yang dipercayai pemilik premis tersebut bagi membantu siasatan.

Beliau berkata polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan penipuan dalam talian dan menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement