MELAKA: Polis menahan seorang peniaga tempatan selepas dipercayai terlibat dalam 10 kes amang seksual terhadap kanak-kanak lelaki dari Mac hingga semalam.
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata lelaki berusia 36 tahun itu ditahan orang awam di Balai Raya Taman Desa Duyong di sini kira-kira 6 petang semalam sebelum diserahkan kepada polis.
Beliau berkata 10 mangsa terlibat berusia lapan hingga 13 tahun dengan kejadian didakwa berlaku di taman permainan, surau, pasar raya, kedai makan dan rumah suspek.
“Suspek didakwa mendekati mangsa di taman permainan atau selepas menunaikan solat di surau dan bertindak memeluk, mencium pipi atau dahi serta memegang bahagian sulit mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Suspek direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
-- BERNAMA